ALOR GAJAH – Seorang mekanik yang baru melangsungkan pernikahannya semalam maut dirempuh sebuah kereta di Kilometer 196.6 Lebuhraya PLUS arah selatan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa, Anwarie Azim Rozi, 23 yang baru berkahwin semalam maut di tempat kejadian dalam nahas jam 8.50 malam.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Seremban, Negeri Sembilan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dari arah utara ke selatan terjatuh di lorong kedua lebuhraya sebelum sebuah kereta Proton Persona dari arah sama yang tidak sempat mengelak merempuhnya.
“Rempuhan mengakibatkan mangsa tercampak dan meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu Proton Persona iaitu lelaki berusia 47 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Arshad berkata, semakan awal mendapati mangsa maut beralamat dari Batu 9 Jalan Besar Tambak Paya, Melaka tidak mempunyai lesen motosikal.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette