NIBONG TEBAL – Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu berkuat kuasa hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lim Chong Chern berkata, pengisytiharan itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan susulan pencemaran udara yang mengancam kesihatan penduduk.
“Bagaimanapun, operasi tapak pelupusan sampah itu berjalan seperti biasa memandangkan kawasan berkenaan tidak digazettekan sebagai kawasan bencana.
“Operasi bencana di kawasan itu sudah dilakukan sejak 17 Januari dan sehingga kini masih berjalan,” katanya pada sidang media di Jawi hari ini.
Tambah Chong Chern, tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kebakaran itu serta kehilangan harta benda oleh penduduk yang diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kepekatan tahap pencemaran udara sudah berkurangan.
“Daripada pemantauan kita dapati keadaan kini terkawal dan gas terhasil daripada kebakaran itu sudah berkurangan namun debu meningkat disebabkan operasi pengeboman air dari udara (water bombing) oleh pihak bomba.
“Selain itu, kita juga menggunakan termal dron bagi mengenal pasti tahap kebakaran di permukaan bawah untuk memudahkan pihak bomba melakukan operasi pemadaman,” ujar beliau.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, kira-kira 400 penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kawasan berkenaan berdepan masalah pencemaran udara akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, sejak 12 Januari lalu.- MalaysiaGazette