The government will be managing and bearing the costs of the mandatory quarantine of the pilgrims who returned to Malaysia after performing their umrah. quarantine stations centres
Kerajaan akan menguruskan kuarantin jemaah yang pulang dari mengerjakan ibadah umrah dan kosnya akan ditanggung.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperinci dan memperhalusi setiap isu berkaitan perjalanan jemaah umrah tempatan ke Arab Saudi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, proses itu akan dimuktamadkan pertengahan Februari depan.

“Kedua-dua menteri dalam kenyataan bersama menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing sebelum membentangkan saranan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 akan datang.

“Garis masa pembukaan semula perjalanan umrah, kedua-dua menteri komited untuk memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari tahun ini,” kata mereka hari ini.

Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua kementerian mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan (Umrah).

Sesi itu bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah susulan keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah pada sesi perbincangan libat urus petang ini adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan, perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan.

Awal bulan ini, Khairy berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari lalu susulan peningkatan varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Jelas beliau, penilaian risiko situasi Covid-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah. – MalaysiaGazette