PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan melancarkan Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dalam usaha memacu pembangunan sektor itu secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.
“Dasar yang akan memayungi pembangunan agrikomoditi negara adalah penting agar sektor ini terus berdaya saing dan kekal terpelihara sepanjang zaman.
“Ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan digital pasca Covid-19.
“DAKN 2021-2030 akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia di sini malam tadi.
Perdana Menteri berkata, DAKN 2021-2030 akan melahirkan pekebun kecil pintar yang mengamalkan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi.
“Dasar ini bakal meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera dalam sektor industri hiliran agrikomiditi.
“Usaha ini seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sektor ini yang amat penting kepada pembangunan negara,” katanya lagi.
Menurutnya, sektor agrikomoditi telah menyediakan peluang pekerjaan kepada ramai rakyat Malaysia malah turut mengurangkan keluarga yang dibelenggu kemiskinan.
“Kadar kemiskinan dalam kalangan peladang dan pekebun kecil sektor agrikomoditi telah menurun dengan signifikan.
“Kadar kemiskinan nasional pada 1970 adalah pada tahap 49.3 peratus dan telah menurun kepada 5.6 peratus pada 2019. Saya percaya, penurunan ini sebahagiannya adalah sumbangan daripada sektor ini,” katanya.
Katanya lagi, Malaysia tidak dapat lari daripada sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu khususnya media barat ke atas hasil keluaran agrokomoditi negara seperti minyak sawit dan getah, yang dikaitkan dengan buruh paksa.
“Namun, demi semangat Keluarga Malaysia, warga KPPK dan Agensi dengan dokongan para pemain industri perlu berdiri teguh untuk mempertahankan produk negara agar terus diterima di seluruh dunia dan diangkat kedudukannya.,” katanya lagi. – MalaysiaGazette