Sharifah Zakiah menunjukkan bacaan IPU yang dipantau pihaknya membabitkan kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Nibong Tebal Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan terhadap syarikat yang mengendalikan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini, susulan didapati gagal mematuhi Peraturan Impak Alam Sekitar (EIA).

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, dua kertas siasatan dibuka setakat ini mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana melakukan pembakaran terbuka serta Seksyen 34A akta yang sama.

Sharifah Zakiah.

Bagaimanapun, Sharifah Zakiah berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci memandangkan operasi memadamkan api di tapak pelupusan itu masih berjalan selain menunggu laporan punca kebakaran daripada pihak bomba.

“Berdasarkan pemantauan dan siasatan awal kita dapati banyak ketidakpatuhan dilakukan pengendali tapak pelupusan sampah tersebut.

“Selain itu, kita juga tidak menolak kemungkinan pengendali masih beroperasi di Fasa 1 dan Fasa 2 sebelum berlaku kebakaran sedangkan arahan telah dikeluarkan agar pengendali tidak menggunakan lagi dua fasa tersebut.

“Mereka (pengendali tapak) sepatutnya beroperasi di Fasa 3 namun arahan itu dipercayai tidak dipatuh,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Pemantauan JAS di Ladang Byram di sini hari ini.

Menurut Sharifah Zakiah, sebanyak 14 notis arahan telah dikeluarkan terhadap pengendali syarikat pelupusan tapak sampah ini sepanjang tahun lalu.

Sharifah Zakiah menunjukkan meter Grimm (habuk) dan Cerex (gas) yang ditempatkan di SJKT Ladang Byram untuk membolehkan pihaknya melakukan pemantauan.

“Dalam tahun 2021 juga, kita turut mengeluarkan dua kompaun berkaitan pembakaran terbuka terhadap mereka (pengendali) selain kini menunggu perbicaraan  di mahkamah atas kesalahan licik.

“Apa yang boleh saya rumuskan di sini,  syarikat yang mengendalikan tapak pelupusan ini dilihat tidak serik walaupun pelbagai tindakan telah dikenakan terhadap mereka,” ujar beliau.

Mengulas lanjut Sharifah Zakiah berkata, pengendali sepatutnya memastikan tapak pelupusan sampah itu selamat serta terkawal daripada sebarang isu.

“Tapak pelupusan sampah adalah kawasan larangan jadi tanggungjawab penuh pengendali untuk memastikan keselamatan di tapak terbabit daripada diceroboh orang awam termasuk mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan, Syarikat pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. berdepan tindakan penamatan konsesi sekiranya didapati gagal mematuhi perjanjian yang termaktub menerusi tender terbuka.

Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. dikatakan sudah mula menguruskan tapak pelupusan sampah itu sejak lima tahun lalu dan mempunyai kontrak konsesi selama 20 tahun. – MalaysiaGazette