Hamzah Zainudin
Hamzah Zainuddin

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyangkal dakwaan bahawa program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dikendalikan kementerian itu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) gagal.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, program itu mendapat sambutan apabila terdapat 15 peserta telah dibenarkan untuk memasuki negara ini.

“Kita telah menerima 111 pendaftaran baru yang menyatakan mereka berminat dalam masa dua bulan.

“Dan program ini kita telah berikan kelulusan kepada 15 peserta dan baki itu belum diluluskan kerana program ini memerlukan dokumen dan ada yang masih belum lengkap dan ada kelewatan sedikit.

“Jadi tidak usahlah kita menyatakan program ini banyak kerugian dan sebagainya. Kalau 111 orang ini lulus, mereka akan bawa masuk RM1 juta seorang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Executive Lounge MM2H di Jabatan Imigresen, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Jumlah itu direkodkan pada November tahun lalu sehingga kini yang dibuat secara dalam talian.

Untuk rekod, program MM2H sebelum ini diletakkan di bawah MOTAC sejak ia dilaksanakan pada 2002.

Setakat hari ini, jumlah peserta MM2H yang aktif adalah seramai 27,285 peserta pas prinsipal dan 27,725 yang memegang pas tanggungan.

“Kalau kita dapat lulus 1,000 untuk tahun 2022 ini, kita akan dapat purata RM1 bilion, itu yang kita nak bezakan yang dulu hanya RM300 juta.

“Kita melihat kejayaan program ini dari segi menjemput peserta yang berkualiti dan mereka yang mampu untuk hidup dan berbelanja dalam negara kita,” katanya lagi.

Sebelum ini, Hamzah berkata, kerajaan sedia mempertimbang memberi kelonggaran kepada peserta MM2H sedia ada dari syarat dan dasar yang ditetapkan sebelum ini termasuk keperluan pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta.

Selain itu, jelas Hamzah, pengeluaran maksimum sebanyak 50 peratus dibenarkan ke atas nilai prinsipal bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan anak selain perlu membuat pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta dan pendapatan luar negara sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan serta lain-lain keperluan syarat ditetapkan.

Sejak program MM2H dimulakan pada tahun 2002, seramai 57,478 warga asing diberikan pas jangka panjang sebelum program itu dihentikan pada September 2018 untuk dikaji semula dengan syarat-syarat baharu diperkenalkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast