Lelaki warganegara Iran dipercayai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen dan pasport antarabangsa diberkas dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Lelaki warganegara Iran dipercayai dalang utama sindiket pemalsuan dokumen dan pasport antarabangsa diberkas dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud, tangkapan itu merupakan kes sindiket pertama yang melibatkan warga Iran sebagai dalang.

Beliau berkata, suspek yang berusia 58 tahun itu ditahan dalam serbuan pada Rabu lalu di sebuah premis perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan tinggal di Malaysia selama lebih 30 tahun menggunakan Pas Lawatan Sosial (Suami Kepada Warganegara).

“Semasa serbuan dilakukan beliau sedang menyerahkan dokumen yang telah dipalsukan kepada pelanggan di luar sebuah pasar raya yang terletak di Jalan TAR,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, serbuan itu sekaligus membawa kepada serbuan kediaman lelaki berkenaan di Bandar Baru Ampang yang dijadikan tempat menyimpan dan memalsukan dokumen.

Pasukan JIM merampas lapan naskah pasport antarabangsa pelbagai negara, 29 keping pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang belum dicetak dan dipercayai palsu, cop palsu JIM, pelbagai jenis cop, satu unit laptop dan  sebuah unit mesin pencetak.

“Turut dirampas 24 keping Lesen Memandu Antarabangsa dan wang tunai bernilai RM4, 000. Kesemua barang yang dirampas dipercayai berkait dengan aktiviti sindiket ini,” katanya lagi.

Khairul berkata, suspek menyasarkan pelanggan warga asing khususnya warga Iran yang ingin mendapatkan pas dan dokumen untuk tinggal di negara ini.

Sindiket itu mengenakan bayaran RM300 hingga RM500 setiap pemalsuan dokumen.

“Bayaran akan dibuat secara atas talian ke akaun bank pihak ketiga yang bersubahat dengan dalang ini.

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi hampir dua tahun dan berselindung di sebalik perniagaan menjual kain cadar tilam berdasarkan iklan yang diletakkan dihadapan premis yang diserbu,” tambahnya.

Beliau berkata, suspek ditahan dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.- MalaysiaGazette