SEKALI terjebak dengan najis dadah walaupun telah mendapat rawatan dan pulih, ketagihannya tetap akan dirasai sehingga ke liang kubur.
Penagih dadah boleh pulih dengan rawatan dan bimbingan yang betul. Berpuluh ribu telah pulih selepas menjalani rawatan namun jika tidak kuat semangat mereka boleh kembali terjebak.
Hanya ilmu dan azam mampu menyelamatkan bekas penagih daripada terjerumus dalam lubang yang sama buat kali kedua, ketiga dan seterusnya.
Tempat, benda dan orang jadi pencetus
Tiga faktor boleh mencetuskan kembali perasaan untuk seseorang bakas penagih untuk kembali ke tabiat lama iaitu tempat, benda dan orang.
Menurut Abdullah (bukan nama sebenar) yang pernah melalui pengalaman penagihan dadah sejak berusia 12 tahun, ketiga-tiga faktor berkenaan terkait dengan memori lama ketika mereka bergelumang dengan bahan terlarang itu.
Anak kepada pasangan guru itu berkata, dadah akan menghantui seorang penagih sehingga ke liang kubur. Jika tidak bernasib baik ketiga-tiga faktor itu akan menjadi pencetus untuk kembali mengambil dadah sekiranya azam tidak kuat.
“Faktor ini boleh tercetus bila-bila masa. Macam faktor tempat, ada setengah-setengah bekas penagih bila dia balik tengok tempat tidur pun sudah rasa nak ambil dadah. Rasa gian kembali menembusi ingatan dalam fikiran.
“Macam saya bila hujan rintik-rintik pada waktu pagi, saya terbangun dari tidur, bulu roma akan naik hingga boleh nampak bintik-bintik pada liang roma di lengan. Perasaan hendak ambil dadah itu meronta-ronta dalam jiwa.
“Tapi alhamdulilah saya dapat kawal. Perasaan hendak hisap ini memang saya ada rasa, sampai saya mati,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Abdullah berkata, sesuatu ‘benda’ juga boleh mencetuskan keinginan seseorang untuk kembali menagih.
Seperti Superman yang lemah dengan batu kryptonite, dirinya pula akan tewas sekiranya ternampak dan memegang pemetik api berjenama Alladin.
“Saya akan elak benda-benda yang hendak saya pegang. Macam pemetik api jenama Aladdin bukan sahaja pegang mendengar namanya sahaja boleh membuatkan rasa terfikir tentang dadah.
“Saya tak boleh dengar nama pemetik api Alladin, walaupun orang awam macam kelakar cerita ini, tapi bagi saya tidak boleh,” kata Abdullah yang akan berkahwin pada 1 Februari ini.
Menurutnya pemetik api itu seringkali digunakan ketika dia ‘bersahabat’ dengan dadah selama lebih 15 tahun.
Abdullah yang telah tujuh tahun bebas sepenuhnya daripada dadah dan bekerja dengan Persatuan Pengasih Malaysia berkata, faktor orang seperti sahabat lama dan juga keluarga turut mempengaruhi.
Jelasnya, penagih dan bekas penagih adalah kelompok yang mudah memiliki perasaan yang mudah tersentuh dan terhiris.
“Kawan-kawan lama sama menagih memang sangat mempengaruhi. Orang yang boleh membuatkan kita rasa murung walaupun dia tidak mengambil dadah juga boleh menyebabkan bekas penagih kembali mengambil dadah.
“Ada keluarga sokong untuk dia berhenti, tapi kadang-kala ‘mulut tak tutup’, kadang-kala emak cakap lepas contohnya ‘itulah engkau dulu tak nak belajar betul-betul.’
“Apa rasa bekas penagih ini. Dia akan rasa emosi tak betul, mudah terasa. Bekas penagih ini seorang yang mudah tersentuh hati,” kata beliau yang mengambil pil kuda pada masa mula terjebak dengan dadah.
Menurut Abdullah, untuk benar-benar pulih seseorang penagih memerlukan masa antara dua hingga lima tahun. Tempoh itu adalah saat kritikal dan mereka perlu mengelakkan tiga faktor pencetus itu yang boleh mendorong untuk kembali menagih bila-bila masa.
Abdullah antara 39 bekas penagih yang menerima Sijil Kopentasi Jurulatih Kepulihan dari Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) Universiti Sains Islam baru-baru ini. M.ajlis itu anjuran Malaysia anjuran Malaysian Substance Abuse Council
Keluarga ingat kena sihir
Keluarga yang mempunyai ahli menagih dadah tidak seharusnya menunggu sehingga tragedi berlaku seperti kejadian seorang penagih yang memenggal leher ibunya sehingga putus.
Pengurus Rumah Sahabat Hulu Langat, Mohamed Shamseer Mohd Sawar, 43 berkata, banyak keluarga tidak tahu bagaimana hendak bertindak dengan betul apabila ahli keluarga menagih dadah.
Malah ada keluarga ingat anak mereka yang menagih dadah menjadi tidak waras disebabkan terkena sihir.
“Ada famili yang hantar ahli keluarga di sini, saya tidak tipu, ramai yang datang kata anak dia kena buatan orang, kena sihir. Ya. Allah. Mereka tak tahu akan mereka jadi tidak waras disebabkan penggunaan dadah sintetik seperti syabu dan ais.
“Saya tunjuk video, tengoklah anak encik ini tengah bercakap sorang, ini skizofrenia, dia kena dapat rawatan. Mak ayah kadang-kala tak tahu. Bila diberitahu mereka periksa di bilik anak jumpa alat menghisap dadah sintetik,” kata Mohamed Shamseer yang juga bekas penagih pada usia 13 tahun.
Perlukan ilmu pulih dadah
Ilmu adalah perkara penting dalam memulihkan penagih dan menghalang mereka daripada kembali mengulangi tabiat lama.
Ibu kepada dua orang anak berusia 22 dan 15 tahun, Kak Iyta, 41 berkata, bukan satu kerja mudah untuk membawa penagih ke pangkal jalan dan pendekatan keras bukan salah satu daripada kaedah untuk memulihkan penagih.
“Akak kalau cakap memang agak kasar, akak dulu belajar (bimbing penagih) bawah Transit Community (TC). TC memang keras sikit.
“Kalau dulu akak cakap pada penagih ‘kalau engkau nak pulih kau datang cari aku. Kalau kau rasa nak pulih, kau boleh pulih. tapi kalau tak nak pulih macam mana aku buat pun kau memang tak akan pulih sebab kita yang beria-ia hendak kau pulih, tapi kau tak nak pulih’.”
“Ayat itu memang kasarlah kalau kita nak bercakap dengan pelanggan, tapi dalam latihan terbaharu akak dapat sesuatu. Tak semua orang boleh ikut cara kita,” kata Kak Iyta yang merupakan pengambil heroin satu ketika dulu.
Kordinator program Persatuan Insaf Murni Malaysia menasihatkan sesiapa yang mempunyai ahli keluarga seorang penagih dan untuk terus mendapatkan pertolongan daripada mereka yang professional.
Untuk memulihkan seseorang penagih memerlukan masa yang panjang dan perlukan sikap berterus terang.
Ini adalah bahagian akhir daripada dua bahagian mengenai wira-wira tidak didendang yang pernah terjebak dalam penagihan dadah dan kemudian memutuskan untuk membantu penagih yang lain untuk kembali pulih.-MalaysiaGazette