Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terus membantu majikan dan pekerja yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 tahun ini melalui pelbagai inisiatif.

Di bawah Bajet 2022 sejumlah RM600 juta diperuntukkan kepada majikan melalui Sistem Insurans Pekerja (SIP) bagi meneruskan operasi syarikat serta mengelakkan pekerja daripada kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

Dana tersebut menyediakan kadar bantuan sebanyak RM600 bagi setiap pekerja selama tiga bulan yang akan memanfaatkan 26,000 majikan dan 330,000 pekerja.

Pengusaha sektor pelancongan yang mencatatkan penurunan hasil sebanyak 30 peratus layak memohon dana tersebut yang dibuka dari 1 Januari lalu hingga 31 Mac 2022 melalui prihatin.perkeso.gov.my.

Bantuan tidak mensyaratkan had gaji pekerja dengan jumlah maksimum bantuan kepada 500 orang pekerja.

Selain itu, Perkeso turut menyediakan SIP elaun mencari pekerjaan kepada pencarum yang kehilangan pekerjaan mulai 1 Januari lalu hingga 30 Jun.

Kadar bantuan diberikan berjumlah 80 peratus daripada purata gaji anggaran bagi bulan pertama mencari pekerjaan, 50 peratus bagi bulan kedua hingga bulan keenam dan 30 peratus bagi bulan ketujuh hingga kesembilan.

Bagaimanapun pemberian bantuan tertakluk kepada syarat pekerja aktif membuat carian pekerjaan di portal Myfuturejobs.

Pekerja yang tidak memenuhi syarat kelayakan caruman atau tamat kontrak perkhidmatan sekurang-kurangnya 24 bulan tempoh perkhidmatan dan pernah diperbaharui satu kali turut layak untuk memohon.

Dana yang diperuntukan di bawah Akta 800 dan Bajet 2022 itu dibuka bermula 1 Januari hingga 31 Julai.

Perkeso turut menyediakan SIP elaun mencari pekerjaan kepada bukan pencarum yang sedang mencari pekerjaan.

Dua insentif elaun disediakan kepada kumpulan itu iaitu Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) yang menyediakan bantuan tunai RM300 dalam tempoh tiga bulan dan Elaun Persediaan Bekerja (EPB) berjumlah RM400 yang diberikan secara one-off (sekali beri) setelah mendapat pekerjaan.

Permohonan dibuka sejak 1 Januari lalu hingga 31 Disember tahun ini dengan syarat individu terbabit belum mendaftar atau tidak aktif mencarum dengan Perkeso selepas 1 Jun 2021.

Mereka juga disyaratkan berdaftar sebagai pencari kerja di portal Myfuturejobs dan menghadiri temuduga sekurang-kurangnya tiga kali sebulan.

Pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 1300-22-8000 atau 03-80915400.

Sementara itu Perkeso juga menyediakan pelbagai bantuan kepada pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Faedah yang disediakan termasuk perubatan, kehilangan upaya kekal, orang tanggungan, pemulihan jasmani atau vokasional, hilang upaya sementara, elaun layanan sentiasa, pendidikan dan pengurusan mayat.

Kerajaan telah menyediakan bantuan padanan caruman kepada mereka di bawah Pelan 2 berjumlah RM232.80.

Pencarum hanya perlu membayar 20 peratus iaitu RM46.60 bagi melayakkan mereka menikmati faedah yang ditawarkan manakala baki 80 peratus berjumlah RM186.20 ditanggung oleh kerajaan.

Permohonan boleh dibuat di portal matrix.perkeso.gov.my atau datang sendiri ke pejabat Perkeso. Permohonan dibuka sepanjang tahun ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast