Rafidah Aziz

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO yang juga bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz tidak bersetuju guru terlibat dalam politik dengan alasan langkah itu akan menghakiskan sistem pendidikan negara.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan keputusan itu yang mungkin akan membawa anasir negatif kepada pelajar.

Tegas beliau, kebenaran tanpa peraturan yang munasabah itu akan menimbulkan persoalan dan kebimbangan.

“Meskipun ramai guru berdedikasi dan komited dengan tugas mereka, saya tetap bimbang sesetengah daripadanya mungkin menyebarkan propaganda politik kepada pelajar.

“Ini tidak baik untuk pembinaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri yang mengumumkan kebenaran kepada semua guru di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap dalam satu majlis di Kota Bharu dilaporkan berkata, kebenaran berpolitik itu turut melibatkan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Justeru kata beliau, Kementerian Pendidikan perlu mengeluarkan pekeliling mengenai kebenaran tersebut dengan segera sekiranya belum ada.

Menurut Rafidah, langkah boleh menjurus golongan muda terpengaruh dengan pandangan yang tidak selaras dengan entiti politik tertentu dan menghakis nilai murni di kalangan pelajar serta asas perpaduan negara.

Jelas beliau, walaupun individu wajar diberikan hak menyertai aktiviti politik, ia perlu dilakukan sebagai warganegara agar tidak mencetuskan masalah dalam masyarakat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Guru, petugas Kemas dibenar berpolitik berkuat kuasa serta-merta – PM