bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diunjur diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan apabila sentimen pelabur dijangka kekal berhati-hati walaupun aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka berlaku, kata seorang penganalisis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,520-1,540 pada minggu depan.

Mengulas mengenai keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus, beliau berkata, “Ia bagus untuk mengekalkan kadar faedah rendah semasa tempoh pemulihan ekonomi. Ia memberikan sedikit ruang penampan kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi kenaikan kadar dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan mengumumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Disember 2021 meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada 124.5 berbanding 120.6 dalam bulan yang sama pada tahun sebelumnya berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, Bursa Malaysia diniagakan rendah seiring dengan prestasi lemah di pasaran serantau di tengah-tengah peningkatan kemeruapan pasaran di rantau ini.

Pasaran ditutup pada Selasa sempena cuti umum Hari Thaipusam.

Pada Isnin, saham teknologi tempatan berada di bawah tekanan apabila kebimbangan terhadap kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat dan penilaian berlebihan memberi tekanan ke atas sektor tersebut.

Sementara itu, harga minyak mencecah paras tertingginya dalam tempoh lebih tujuh tahun pada Selasa apabila para peniaga bimbang serangan ke atas kemudahan simpanan minyak di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menjejaskan bekalan.

Penanda aras minyak mentah Brent meningkat hampir 1.0 peratus mencecah paras US$87.22 setong. Harga turut meningkat di Amerika Syarikat apabila minyak mentah West Texas Intermediate naik sebanyak 1.3 peratus kepada US$84.89 setong.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 28.27 mata untuk ditutup minggu ini kepada 1,527.06 daripada 1,555.33 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 219.27 mata kepada 10,959.25, Indeks FBMT100 turun 220.20 mata kepada 10,665.45 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 219.61 mata kepada 11,661.20.

FBM 70 berkurangan 377.74 mata kepada 13,474.83 dan FBM ACE susut 155.11 mata kepada 6,124.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 375.47 mata kepada 15,776.61, Indeks Perladangan susut 62.27 mata kepada 6,699.28 dan Indeks Tenaga jatuh 12.21 mata kepada 725.88.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 2.13 mata kepada 200.83, Indeks Teknologo turun 2.71 mata kepada 80.43 dan Indeks Penjagaan Kesihatan susut 56.49 mata kepada 2,189.01.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 12.18 bilion unit bernilai RM8.85 bilion daripada 21.25 bilion unit bernilai RM12.22 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 7.78 bilion saham bernilai RM7.79 bilion berbanding 12.53 bilion saham bernilai RM10.69 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.17 bilion unit bernilai RM125.24 juta daripada 1.25 bilion unit bernilai RM160.36 juta sebelumnya

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 3.21 bilion saham bernilai RM919.50 juta daripada 7.43 bilion saham bernilai RM1.35 bilion. – MalaysiaGazette