MELAKA – Kes positif Covid-19 membabitkan kluster pendidikan di Melaka kini mula merekodkan jangkitan dalam kalangan pelajar sekolah sejak kelmarin.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia membabitkan 21 pelajar di lima buah harian dan berasrama yang mencatatkan antara satu hingga 12 pelajar positif.

“Keadaan ini sekaligus menjadikan 153 kes positif Covid-19 daripada kluster pendidikan di negeri ini di tujuh buah institusi pendidikan dengan angka terbesar adalah di dua buah kolej vokasional di Melaka Tengah dan Jasin masing-masing 107 dan 25 kes direkodkan sebelum ini.

“Hari ini saya baru balik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad dan seramai 12 pelajar Tingkatan 5 dikesan positif menyebabkan sekolah ditutup sehingga 27 Januari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada 150 masyarakat Tionghoa di Tanjung Minyak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, turut merekodkan kes positif adalah pelajar di SMKA Sharifah Rodziah, Telok Mas sebanyak enam kes.

Turut sama adalah Sekolah Menengah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Darul Falah, Kuala Sungai Baru; Sekolah Menengah Arab Assaiyidah Khadijah, Merlimau dan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh masing-masing merekodkan satu kes.

“Kita percaya semua jangkitan berpunca daripada kes sporadik dan saya telah meminta Jabatan Pendidikan negeri sentiasa memantau tahap kesihatan pelajar termasuk mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP).

“Ibu bapa juga diharapkan tidak panik kerana pihak guru dan sekolah sentiasa memantau kesihatan pelajar termasuk ada di antara mereka telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh,” katanya.

Pada 19 Januari lalu, seramai 87 pelajar daripada dua Kolej Vokasional di Melaka, disahkan positif Covid-19, iaitu 76 pelajar di Kolej Vokasional Melaka Tengah (KVMT) di Bukit Katil dan 11 pelajar perempuan di Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin.

Ia sekaligus menyaksikan keseluruhan positif seramai 102 pelajar di kedua-dua KV berkenaan ditutup sehingga hari ini selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisytiharkannya sebagai Kluster Jalan Kemendor dan Kluster Jalan Telani. – MalaysiaGazette