K. Rajagobal memulakan latihan bersama pasukan kebangsaan Brunei.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Brunei (FABD) mengesahkan mereka telah mencapai persetujuan dengan Datuk K. Rajagobal untuk berpisah pada penghujung Januari ini walaupun masih mempunyai baki kontrak selama setahun.

Menurut laporan Aseanfoorball.org, keputusan sukar itu dibuat oleh FABD kerana Rajagobal telah berkhidmat dengan cemerlang sejak Februari tahun lalu.

Selain itu, situasi wabak pandemik Covid-19 telah memberi kesukaran kepada kedua-dua pihak untuk merancang perlawanan persahabatan di peringkat antarabangsa sehingga gagal menyertai Piala AFF.

โ€œDalam mengiktiraf sumbangannya, FABD melahirkan rasa terima kasih di atas perkhidmatannya yang singkat tetapi memberi impak dan sedih melihatnya pergi dalam keadaan yang tidak tepat pada masanya,โ€ kata FABD dalam satu kenyataan.
Sejak di bawah kendalian Rajagobal, Brunei tidak menghadapi sebarang perlawanan persahabatan antarabangsa dan turut menarik diri daripada aksi play-off Piala Suzuki AFF 2020 menentang Timor Lester tahun lepas.

Bagaimanapun, bekas jurulatih PKNS FC dan Harimau Malaya itu berjaya meraih kemenangan pertama menentang kelab tempatan, Kasuka FC, 4-0 pada bulan Mac 2021. Kemudian, mereka seri 1-1 pada perlawanan kedua menentang pasukan Pilihan Liga Super Brunei.

Perkembangan itu membangkitkan rasa teruja dalam kalangan penyokong Brunei dan mereka berharap jurulatih yang berusia 64 tahun itu dapat mengubah prestasi pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Pasukan Brunei kini menduduki ranking ke-188 dunia dan sudah lama tidak memenangi apa-apa kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Pencapaian terbaik Brunei ialah meraih kedudukan keempat dalam Piala Solidariti AFC pada tahun 2016. – MalaysiaGazette