gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peraturan penggunaan vape serta galakan kepada perokok untuk beralih kepada vape sebagai alternatif yang kurang mudarat dapat mengurangkan populasi perokok di Malaysia kepada 4.0 juta menjelang 2025.

Ia hasil dapatan laporan bertajuk Clearing the Smoke: Tobacco Harm Reduction yang dibuat oleh DARE (Datametrics Research & Information Centre)
sebuah badan pemikir berpusat di Malaysia.

Laporan ini juga menganggarkan vape mampu membantu negara mengurangkan perbelanjaan kesihatan untuk merawat penyakit berkaitan merokok sebanyak RM1.3 bilion menjelang 2025.

Pankaj Kumar, Pengarah Urusan DARE berkata, ia memperoleh data ini daripada model pengiraan dan kajian dari agensi antarabangsa yang berkredibiliti seperti Public Health England dan Cochrane Review.

Penemuan ini jelas menunjukkan Malaysia akan dapat mencapai hasil yang ketara daripada penerimaan Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) dan adalah penting untuk membangunkan peraturan yang wajar untuk produk yang kurang memudaratkan bagi membantu negara mencapai agenda ini.

”Sebagai permulaan, DARE mengesyorkan Malaysia untuk membezakan produk tembakau daripada produk kurang memudaratkan seperti vape yang telah terbukti secara saintifik sebagai alternatif yang kurang mudarat dan berkesan untuk membantu perokok berhenti dengan bertukar kepada vape.

”Selain itu, langkah-langkah kawal selia juga harus diambil bagi memastikan produk yang kurang mudarat ini dikawal standard pembuatan, keselamatan, maklumat produk, kualiti dan tahap keberkesanan yang tinggi,” katanya.

Dalam mengubal undang-undang atau peraturan, DARE mengesyorkan pendekatan risiko berkadar (risk proportionate) dengan mengawal selia sekatan mengikut kadar risiko kepada kesihatan yang disebabkan oleh produk.

Sebagai contoh, rokok tradisional mempunyai amaran kepada perokok, namun sebaliknya bagi produk vape pula harus mempunyai mesej mengenai manfaat peralihan dari rokok ke vape.

Untuk menyusun data tempatan laporan itu, tinjauan persepsi telah dijalankan pada September 2021, yang mendedahkan bahawa 80% rakyat Malaysia percaya
penggunaan strategi THR di negara ini akan membantu perokok berhenti rokok tradisional kerana mereka akan dapat beralih kepada alternatif yang kurang memudaratkan.

Majoriti besar (95%) mengatakan bahawa kerajaan Malaysia mesti terlibat dalam melaksanakan strategi THR di Malaysia.

Penemuan daripada laporan ini adalah tepat pada masanya kerana Malaysia akan memperkenalkan peraturan untuk vape di Malaysia. Ini susulan pelaksanaan rangka kerja percukaian yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022.

“Walau apa pun, Malaysia harus meneruskan program sedia ada untuk mengurangkan tabiat merokok di Malaysia dan dalam masa yang sama, pemimpin juga mestilah terbuka untuk meneroka kaedah penyelesaian berasaskan sains yang telah terbukti berkesan di negara seperti United Kingdom dan New Zealand.

”Kita mesti melihat kesesuaian di negara ini dan menentukan strategi terbaik yang boleh dibangunkan menjadi rangka kerja yang sesuai dengan keadaan negara.

”Dengan usaha bersepadu ini, kita mampu mengurangkan permintaan untuk tembakau, meminimumkan kemudaratan, mengurangkan kos kepada sistem kesihatan dan akhirnya, menyelamatkan nyawa," ujar Pankaj. – MalaysiaGazette