M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia bersetuju dengan isu-isu utama memorandum sefahaman (MoU) Induk Pengambilan dan Penempatan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang bakal ditandatangani pada 7 dan 8 Februari depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, isu-isu utama termasuk seperti One Maid One House, One Channel System dan gaji PDI.

”Perbincangan berhubung One Maid One House telah dipersetujui untuk menggantikan cadangan One Maid One Task di mana satu PDI boleh digajikan bagi isi rumah tidak melebihi enam orang.

”Manakala One Channel System telah dipersetujui oleh kedua pihak sebagai saluran tunggal kemasukan PDI ke Malaysia,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah.

Katanya, isu berhubung struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan semasa mengambil kira antaranya seperti kos penerbangan dan kuarantin.

Malaysia dan Indonesia juga turut bersetuju untuk projek rintis pengambilan sejumlah 10,000 PDI dan dijangka dilaksanakan dalam masa satu minggu selepas MOU ditandatangani.

Projek rintis ini amat penting dan signifikan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan MOU dan seterusnya menambah baik sebarang kelemahan yang timbul, tambahnya.

Di samping itu, pihak Indonesia juga bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerja warga Indonesia untuk sektor perladangan.

Ini sebagai permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas sebagaimana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April 2021. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast