Peguam isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Geethan Ram Vincent.

KUALA LUMPUR – Pendengaran permohonan Datin Seri Rosmah Mansor menggugurkan seorang hakim Mahkamah Tinggi bagi mendengar perbicaraan kes di bawah pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditangguh lagi hari ini.

Penangguhan dibuat ekoran peguam mewakili isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, Datuk Geethan Ram Vincent disahkan dijangkiti Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin wajib sehingga 26 Januari ini.

Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Rosmah untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan bermula 27 April ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan juga tertangguh.

Menurut salah seorang peguam Rosmah, Azrul Zulkifli Stork, para peguam lain seperti Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Mohamed Reza Abdul Rahim, P. B. Rajivan Nambiar juga dikenakan perintah kuarantin.

Malah Rosmah sendiri telah dikuarantin sehingga 25 Januari ini kerana merupakan kontak rapat kepada Geethan.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2020.

Ketika prosiding tanpa kehadiran Rosmah dan barisan peguamnya hari ini, pendakwaan memaklumkan pihaknya sudah menerima salinan surat daripada pasukan pembelaan namun bersedia jika prosiding diteruskan.

Mohamed Zaini kemudian menetapkan pendengaran pada 3 Februari depan selain memberi peringatan tidak mahu sebarang penangguhan lagi.

Sebelum ini pada 14 Disember 2021, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah yang agar hakim itu dihalang daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Rosmah kemudian pada 22 Disember tahun lalu telah  memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut dan kes ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – MalaysiaGazette