Pasukan bomba menyertai misi mencari dan menyelamat Mohd Fairulrazi Mohd Fadzil

KUANTAN – Operasi mencari dan menyelamat bagi menjejaki seorang lelaki, Mohd Fairulrazi Mohd Fadzil yang hilang daripada kediamannya diteruskan pada hari kedua menemukan senaskah Al-Quran di Bukit Pelindung, di sini.

Ketua Balai Polis Kuantan, Inspektor Mohd Fazly Yaakub berkata, operasi itu melibatkan 64 anggota Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan kumpulan pendaki.

“Usaha hari ini dapat mengesan laluan mangsa dengan menemukan sebelah selipar belah kanan, beg berisi dokumen lengkap, duit dan senaskah Al-Quran dan disahkan oleh ahli keluarga mangsa.

“Selain itu, operasi hari ini menyalakan bahan mercun sebagai pemandu arah dan memberi petanda kepada mangsa jika mendengar bunyi untuk memberi reaksi balas,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di checkpoint Tongkat Ali di Bukit Pelindung.

Operasi dan menyelamat (SAR) disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia serta dibantu oleh para pendaki tempatan.

Operasi mencari dan menyelamat yang tamat pada jam 6 petang akan disambung esok.

Mohd Fairulrazi, 41, yang menghadapi kesihatan mental dikatakan hilang selepas keluar daripada rumahnya pada jam 6 pagi 19 Januari lalu.

Kali terakhir Mohd Fairulrazi yang dilihat memakai kain pelikat dan berbaju lengan panjang ditemui pedaki wanita, Rozita Abdullah di Bukit Pelindung pada hari sama beliau dilaporkan hilang.

Rozita sempat merakam video dan mengambil gambar Mohd Fairulrazi apabila melihat lelaki itu berkelakuan pelik dan risau keadaannya keseorangan kerana enggan pulang mengikuti pendaki lain.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa, Fatihah Mohd Fadzil, 38, mengharapkan abangnya ditemui selamat setelah hilang lima hari lalu.

“Ini kali pertama abang hilang paling lama, kebiasaannya ada pihak masjid akan menghantar abang yang dikenali sebagai Bob.

“Kami mohon kerjasama orang ramai yang menjumpai abang untuk hubungi kami dengan segera di talian 019-7572021,” ujarnya. – MalaysiaGazette