Melaka boarding schools Covid-19 education clusters Melaka State Health Director Dr Rusdi Abd Rahman
Dr Rusdi Abd Rahman

MELAKA – Kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini semakin membimbangkan apabila varian Omicron dikesan di sebuah kolej vokasional.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, setakat ini, seramai 261 pelajar di empat buah institusi pendidikan negeri itu disahkan positif Covid-19.

“Bagi saya ini semakin membimbangkan…daripada empat kluster pendidikan ini, hanya ada satu kolej, ada satu (kes) varian Omicron.

“Tapi bagi saya Omicron ke tidak, sebenarnya cara menjauhinya sama dan sebab itu kita kena waspada, patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan operasi pemantauan Tahun Baharu Cina (Ops TBC 2022), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 261 pelajar yang positif Covid-19 di empat institusi pendidikan adalah Kluster Jalan Kemendor di Jasin iaitu Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin sebanyak 39 kes.

“Kluster Jalan Hang Tuah Jaya 2, iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), 58 kes, Kluster Jalan Telani iaitu Kolej Vokasional Melaka Tengah (KVMT), 135 kes dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad sebagai Kluster Jalan Pengkalan Batu sebanyak 29 kes,” ujarnya.

Ditanya adakah kebimbangan itu bakal menyaksikan lebih banyak kes positif Covid-19 berlaku dalam kalangan pelajar sekolah, Dr Rusdi berkata, ia boleh berlaku.

“Betul (merebak ke banyak sekolah), saya tak hairan kalau misalnya sekolah lain, terutama sekolah asrama pula yang menjadi mangsa selepas ini kalau kita tak berhati-hati.

“Setakat ini, Melaka sudah merekodkan 15 kes varian Omicron iaitu sembilan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin masing-masing tiga kes,” katanya. – MalaysiaGazette