Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor.- Gambar hiasan.

SEPANG – Hakim Mahkamah Sesyen di sini telah mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap seorang lelaki yang sepatutnya hadir pada sebutan pertama kes hari ini.

Tertuduh, Muhammad Hakim Habibullah ketika ini sedang berdepan dengan dakwaan penyebaran komunikasi lucah kepada seorang wanita sekitar 2018.

Waran tangkap itu telah dikeluarkan oleh dua orang hakim iaitu Hakim Mahkamah Sesyen 1, Ahmad Rizki Abdul Jalil dan Hakim Mahkamah Sesyen 2, Noorhisham Mohd Jaafar.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri berkata, tertuduh tinggal di Alor Setar, Kedah dan gagal hadir ke mahkamah hari ini.

Bagaimanapun pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada tertuduh melalui surat pada 1 Disember tahun lalu.

Ketika ini, Muhammad Hakim sedang berdepan dengan 12 pertuduhan yang berkait dengan penyebaran lucah pada tarikh-tarikh berbeza pada tahun tersebut.

Komunikasi lucah yang dilakukan oleh tertuduh itu bertujuan untuk mengaibkan mangsa.

Antaranya dengan menyebarkan gambar-gambar lucah di aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

Mangsa kemudian membuat laporan kepada SKMM.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara satu tahun.

Atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan. -MalaysiaGazette