KUALA LUMPUR – Sistem tempat letak kenderaan (TLK) berbayar di lima lokasi baharu di kawasan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan mula dilaksanakan pada 1 Mac depan.
Yang Dipertua MPKS, Rahilah Rahmat berkata, sistem yang merupakan fasa dua itu membabitkan kawasan Pasir Penambang, Eco Grandeur, Ijok, Kuala Selangor dan Sungai Buloh Sasaran.
“Pelaksanaan sistem TLK bertujuan mengawal aktiviti salah guna tapak parkir dan memastikan perancangan bandar lebih tersusun serta teratur,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, kadar bayaran yang dikenakan adalah 50 sen sejam manakala, waktu operasi bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Tambahnya, bayaran boleh dibuat melalui sistem dalam talian Smart Selangor Parking atau Flexi Parking manakala pas bulanan diperoleh melalui ejen dilantik.
Justeru katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-3289 7385 sambungan 30. – MalaysiaGazette