Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang mencatatkan rekod melebihi sasaran apabila berjaya mengutip zakat sebanyak RM178 juta tahun lalu.

Jumlah itu meningkat berbanding kutipan sebanyak RM158.2 juta pada tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kutipan tersebut sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM170 juta.

“PKZ telah berjaya meningkatkan kutipan zakat walaupun sebahagian besar daripada tahun 2021, kempen zakat secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

“Kategori tertinggi zakat harta adalah daripada zakat pendapatan berjumlah RM86.6 juta  daripada 75,710 pembayar.

“Kategori kedua terbesar pembayar zakat harta adalah daripada zakat perniagaan yang meliputi perniagaan-perniagaan kecil sehinggalah badan-badan korporat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al- Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan Majlis Penyerahan Zakat di sini hari ini.

Tambah Hairi, prestasi agihan zakat pula, MUIP telah mengagihkan zakat kepada golongan asnaf yang layak menerima sebanyak RM177.4 juta dengan jumlah penerima seramai 173,000 orang pada tahun 2021.

Manakala penerima besar bantuan zakat bagi tahun lalu adalah asnaf fakir miskin yang telah menerima sebanyak RM75 juta bersamaan 126,000 orang penerima.

Terdahulu, sepanjang  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada tahun lalu, MUIP telah memperuntukkan RM15.3 juta melibatkan seramai 58,135, 000 bagi membantu mereka yang terkesan ekonomi keluarga akibat hilang pekerjaan atau tidak boleh bekerja.

Terbaharu, MUIP juga telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM9 juta kepada mangsa banjir yang terkesan akibat banjir besar yang melanda negeri Pahang pada akhir tahun lepas. – MalaysiaGazette