Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bersama Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (kiri) menunjukkan jumlah keseluruhan dari 19 buah syarikat korporat yang membayar zakat perniagaan pada Majlis Zakat Korporat 2022 di Hotel Dorsett Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM852 juta pada tahun ini berbanding lebih RM828 juta pada tahun lalu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, jumlah sasaran itu merupakan peningkatan sehingga sembilan peratus berdasarkan kesedaran pembayar zakat yang semakin tinggi setiap tahun.

Jelas beliau, seramai 410,000 pembayar dijangka menyumbang kepada sasaran kutipan zakat itu.

“Bagi zakat perniagaan sahaja, kita menyasarkan sebanyak RM132 juta dengan sasaran pembayar 6,000 syarikat.

“Bagaimanapun, semua sasaran akan disemak semula selepas tiga bulan pertama tahun ini untuk melihat sama ada sasaran itu berada di landasan tepat,” katanya selepas Majlis Zakat Korporat 2022, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Pada 2021, PPZ-MAIWP telah mengutip zakat perniagaan sebanyak lebih RM123 juta dengan jumlah pembayar sebanyak 5,326 pembayar.

Mengulas lanjut, Abdul Hakim memberitahu, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 16 peratus pada jumlah pembayar zakat berbanding 4,583 pembayar tahun 2020.

Daripada jumlah tersebut kata beliau, seramai 2,017 pembayar baharu dicatatkan dengan jumlah bayaran zakat lebih RM11 juta.

“Meskipun tahun 2021 adalah tahun yang penuh cabaran, masih ramai yang prihatin dalam membela nasib asnaf yang semakin ramai di Wilayah Persekutuan dengan menunaikan zakat.

“Walaupun berhadapan situasi sukar pada tahun 2021, masih banyak syarikat-syarikat korporat tampil menunaikan kewajipan berzakat.

“Zakat perniagaan yang ditunaikan pastinya memberi seribu senyuman lebih 216,525 asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Abdul Hakim memberitahu, syarikat korporat yang membayar zakat patut dijadikan organisasi contoh kerana bukan sahaja berjaya dalam perniagaan.

Malah katanya, mereka turut berjaya melaksanakan ibadah zakat yang pastinya akan mengembangkan lagi perniagaan syarikat.

“Justeru itu, PPZ-MAIWP menyeru masyarakat Islam khususnya syarikat dan organisasi di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat perniagaan mereka di PPZ-MAIWP di samping berpeluang menerima Skim Wakalah atau pengembalian semula wang zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang layak,” katanya. – MalaysiaGazette