BATU GAJAH – Projek pembangunan ‘Canal City’ bernilai RM1.5 bilion di Batu Gajah bakal mengubah landskap serta memacu pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata projek pembangunan oleh kumpulan pemaju hartanah, Team Keris Berhad ( TKB) dan Silverland Capacity Sdn Bhd itu akan dilaksanakan di kawasan seluas 202 hektar bermula suku kedua 2023 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata pembagunan ‘Canal City’ itu antara lain melibatkan pembinaan projek perumahan, Spanish Gardens by the Water dan pusat beli-belah, Silverlakes Village Outlet yang akan mewujudkan lebih banyak tarikan ekonomi melalui ketersediaan infrastrukur yang lengkap bagi kemudahan rakyat, pelabur serta komuniti perniagaan.
Saarani berkata pembangunan di Spanish Gardens by the Water di kawasan seluas 52 hektar yang bernilai RM500 juta terletak berhadapan Silverlakes Village Outlet kini kembali rancak apabila Perak sudah memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara yang menyaksikan pembukaan semula kegiatan ekonomi termasuk sektor pembangunan hartanah.
Jelasnya, sejak pelancaran pada suku pertama 2021, projek Spanish Gardens telah merekodkan prestasi jualan yang baik hasil sokongan dari para pembeli, institusi kewangan serta hartanah sekali gus menggambarkan potensi pembangunan lebih pesat di kawasan Batu Gajah.
Pembinaan fasa pertama gedung beli-belah, Silverlakes Village Outlet pula telah bermula sejak April 2017 di kawasan seluas 13.2 hektar dan dijangka akan beroperasi tahun ini.
Fasa pertama ini akan merangkumi pembinaan hotel bertaraf empat bintang dengan 220 bilik dan pusat konvensyen yang boleh menampung 1,200 tetamu.
Gedung beli-belah yang bakal menampilkan 150 rangkaian jenama tempatan dan antarabangsa itu juga akan mewujudkan 800 hingga 1,000 peluang pekerjaaan, khususnya kepada rakyat negeri ini.
— BERNAMA