Vaitheswaran digari untuk dibawa ke penjara sebaik Mahkamah Majistret Bukit Mertajam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 terhadapnya hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 ke atas seorang bekas pendandan rambut selepas dia didapati bersalah pada akhir pembelaan kes memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelajar kolej di Jambatan Pulau Pinang pada tiga tahun lalu.

Hakim yang bertindak sebagai Majistret, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin turut memutuskan M. Vaitheswaran, 24, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda selain memerintahkan lesen tertuduh digantung selama lima tahun.

Hukuman itu diputuskan selepas Ahzal Fariz mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Vaitheswaran.

Vaitheswaran dihukum penjara selama tiga tahun bermula hari ini.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala Vaitheswaran diwakili peguam, K. Paramanathan.

Ketika prosiding, Paramanathan merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya memandangkan mangsa merupakan rakan tertuduh dan Vaitheswaran masih trauma atas insiden tersebut.

Selain itu, Paramanathan turut memberitahu mahkamah anak guamnya menganggur sejak pendakwaan terhadapnya dilakukan susulan lesen memandunya digantung.

Bagaimanapun, Mohammad Nazri memohon supaya mahkamah menetapkan hukuman yang lebih berat kerana kes itu adalah kepentingan awam dan dilaporkan secara meluas oleh media selain kegagalan tertuduh mengakui jenayah itu dari awal, sekali gus membazir masa mahkamah dan kos pendakwaan.

Terdahulu, tertuduh datang ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dengan ditemani bapanya.

Mohammad Nazri turut meminta pihak mahkamah mengambil kira kekerapan kes sebegini berlaku di Pulau Pinang selain bebanan sebuah keluarga yang kehilangan anak mereka.

Susulan itu, Ahzal Fariz berkata, adalah menjadi tanggungjawab mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi dijadikan pengajaran kepada orang lain supaya kes seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

Ahzal Fariz kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula hari ini dan denda RM10,000 sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang lain di atas kesalahan yang dilakukannya.

Paramanathan kemudian bangun sekali lagi merayu untuk menangguhkan hukuman penjara memandangkan pihaknya akan mengemukan rayuan esok, bagaimanapun dibantah Khairul Anwar yang menyatakan tiada alasan khas untuk berbuat demikian.

Mahkamah turut memerintah lesen memandu Vaitheswaran digantung selama lima tahun.

Ahzal Fariz menolak permohonan Paramanathan untuk penangguhan pelaksanaan bagi hukuman penjara itu.

Sementara itu, di luar mahkamah, bapa Vaitheswaran dilihat mengalirkan air mata sebaik melihat anaknya dibawa keluar dalam keadaan bergari.

Media sebelum ini melaporkan Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, Moey Yun Peng, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu Yun Peng di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 dan boleh hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih tiga tahun daripada sabitan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, Vaitheswaran dikatakan memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan hingga menyebabkan SUV itu hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam laut di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai. – MalaysiaGazette