PPBM Bersatu Mazlan Bujang BN Barisan Nasional Tebrau Johor state election
Mazlan Bujang

KUALA LUMPUR – Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang hari ini mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta-merta.

Merujuk kenyataannya sebelum ini, beliau yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor memaklumkan membuat keputusan itu dengan pemikiran yang waras.

“Saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai Ketua PPBM Bahagian Tebrau berkuatkuasa serta-merta dan keluar dari parti PPBM.

“Turut sama meletak jawatan ialah Setiausaha PPBM Bahagian Tebrau serta pegawai dan beberapa ahli jawatankuasa PPBM Tebrau,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, sebentar tadi.

Menurut Mazlan, beliau mengambil pendirian menyokong Datuk Hasni Mohamad bagi memimpin semula negeri Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri yang lebih baik untuk kebaikan rakyat di negeri berkenaan.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan keperluan bagi mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil, kepimpinan yang diyakini berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini dalam mentadbir Johor.

Ujarnya, Bersatu dan Pakatan Harapan Johor telah dilihat gagal mengemukakan calon menteri besar yang layak untuk mentadbir negeri Johor.

“Saya menyeru kepada semua ahli dan penyokong PPBM untuk bermuhasabah diri dan menyokong kepimpinan Datuk Hasni Mohamad dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Johor kali ini,” tambahnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast