Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Perasmian Penubuhan Yayasan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (Yayasan MySDG) di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Sektor swasta, badan bukan kerajaan, organisasi masyarakat sivil dan individu yang memberi sumbangan kepada Dana Amanah MySDG akan menerima potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat.

Perdana Menteri yang mengumumkan perkara itu berharap insentif tersebut akan mendorong lebih ramai menyumbang kepada inisiatif ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Dana Amanah MySDG merupakan koloborasi antara kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia yang menyediakan sebuah platform bagi menghimpunkan pelbagai sumbangan bagi menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).

Matlamatnya untuk membasmi semua kategori kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada siapa pun dalam Keluarga Malaysia terpinggir daripada arus pembangunan.

Manakala, penubuhan Yayasan MySDG pula mampu menarik lebih banyak sumbangan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan Agenda 2030 tercapai.

”Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesaksamaan dari segi kemajuan sosio-ekonomi bagi seluruh Keluarga Malaysia. Ini merangkumi konsep pembangunan untuk semua, termasuklah menangani jurang kekayaan dan pendapatan, serta bagi menuju ke arah sebuah negara yang bersatu, makmur dan berintegriti.

”Dengan pertumbuhan saksama setiap rantaian nilai, kelas,komuniti dan geografi, matlamat ini dijangka mewujudkan keharmonian, kestabilan dan perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan Keluarga Malaysia menjelang tahun 2030,” katanya ketika berucap merasmikan penubuhan Yayasan MySDG dan pelancaran Dana Amanah MySDG hari ini.

SDG bukanlah perkara baharu di negara ini kerana telah diterima sejak 2015 dan akan terus dijajarkan serta diintegrasikan dengan pelbagai proses dan dasar yang telah dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu.

Ismail Sabri berkata, SDG akan terus diintegrasikan sepenuhnya di dalam mekanisme dan dasar perancangan serta pembangunan negara memandangkan SDG dan petunjuk prestasi negara telah dilakarkan sepenuhnya dalam pelan pembangunan lima tahun negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11.

Menurutnya, seluruh dunia telah digemparkan dengan pandemik Covid-19 sehingga menjejaskan pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada impak jangka panjang atau bersifat kekal dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Situasi ini disukarkan lagi dengan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini, menyebabkan Keluarga Malaysia di beberapa negeri kehilangan harta benda dan orang tersayang.

”Saya berharap perkara ini dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak supaya dapat mengimbangi antara pembangunan dan kepentingan melindungi serta memulihara alam sekitar.

“Kita perlu sedar bahawa betapa pentingnya SDG sebagai paksi dalam semua perancangan dan dasar, terutamanya dalam menangani isu pembangunan yang tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar. Ini perlu diutamakan, lebih-lebih lagi bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang pada masa hadapan.

”Sekiranya kita mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi, ia melangkaui apa yang boleh diukur dari segi kewangan.

Ujarnya, kerajaan tidak mampu untuk menangani perkara ini secara bersendirian dan sokongan padu amat diperlukan daripada semua pihak, selari dengan pendekatan senegara terutamanya apabila kita merujuk kepada SDG. – MalaysiaGazette