PETALING JAYA – Penyerang muda, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar menyifatkan kem latihan pusat skuad Bawah 23 tahun (B-23) bagi menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 bulan depan sebagai medan terbaik pemain membuktikan kemampuan masing-masing.
Jelas pemain Terengganu II, ketiadaan nama utama seperti Luqman Hakim Shamsudin mahu pun Mukhairi Ajmal Mahadi wajar diambil kesempatan semua pemain untuk menambat hati jurulatih B-23 negara, Brad Maloney.
Azfar menganggap ia merupakan saingan sihat sebagai batu loncatan kerana melibatkan beberapa muka baru untuk merebut tempat menjelang tumpuan sebenar iaitu Piala AFC B-23 di Uzbekistan, Jun depan.
“Walaupun kebanyakan pemain utama tidak ada tapi ia merupakan satu motivasi kepada pemain baharu yang dipanggil ke kem latihan pusat.
“Lagi ramai pemain yang bagus merupakan petanda baik untuk Malaysia. Kita tidak boleh berharap dengan pemain utama sahaja, kalau mereka tidak ada dan tak akan kita tidak boleh menang,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pihak pada hari pertama kem latihan pusat B-23 kebangsaan di Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya di sini hari ini.
Azfar menjadi wira buat skuad negara apabila menjaringkan dua gol pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2022 Bawah 23 tahun (B-23) yang berlangsung di Stadium MFF, Mongoliant tahun lalu.
Mengulas lanjut, Azfar menambah, saingan kumpulan bersama Indonesia disifatkan sengit apatah lagi tidak boleh kepada negara jiran itu.
Malah dia mengakui Indonesia perlu digeruni kerana skuad kebangsaannya yang muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2020 baru-baru ini dibarisi pemain bawah 23 tahun.
Sementara itu, seramai 30 pemain yang dipanggil oleh Maloney bagi menyertai kem latihan pusat bermula hari ini sebagai persiapan pasukan menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari 2022.
Bagi kem latihan pusat kali ini, Maloney hanya mengekalkan seramai sembilan pemain dari skuad 23 pemain yang dibawa beliau ketika Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Mongolia, Oktober lalu yang mana Malaysia telah menduduki tangga teratas dan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, Jun depan.
Sembilan pemain tersebut ialah Umar Hakeem Suhar Rezwan, Shafi Azswad Sapari, Faiz Amer Runnizar, Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Azhad Harraz Arman, Nur Azfar Fikri Azhar, Syed Nasrulhaq Syed Bidin, T. Saravanan dan Aiman Afif Afizul.
Selebihnya baki pemain lain yang dipanggil kali ini terdiri daripada muka-muka baharu serta beberapa pemain yang pernah dipanggil ke kem-kem latihan pusat sebelum ini termasuk seorang pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal.
Skuad B-23 kebangsaan dijadual berlepas ke Phnom Penh pada 12 Februari 2022 bagi menghadapi tiga perlawanan Kumpulan B menentang Myanmar pada 15 Februari 2022 di Stadium Prince, Laos pada 18 Februari 2022 di Stadium Prince dan Indonesia pada 21 Februari 2022 di Stadium Nasional Morodok Techo.
Seterusnya juara Kumpulan A, B dan C serta satu pasukan naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari 2022 manakala Final dijadual berlangsung pada 26 Februari 2022. Saingan kalah mati ini berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo.
Kumpulan A menampilkan tuan rumah Kemboja, Timor-Leste, Filipina dan Brunei manakala Kumpulan C dibarisi hanya tiga pasukan iaitu Thailand, Vietnam dan Singapura. – MalaysiaGazette