KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan komitmen untuk menyokong dan membantu menyelesaikan apa juga permasalahan, khususnya berkaitan hal ehwal kebajikan anggota dengan pendekatan berhemah serta berdasarkan keutamaan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, komitmen itu juga memenuhi aspirasi kerajaan menerusi kementerian berkenaan yang menekankan konsep Keluarga Malaysia.
Justeru, katanya, sebuah bangunan Wisma Bintara ATM dibina untuk menampung peningkatan keperluan penginapan bagi Pegawai Tentera Tidak Tauliah (PTTK) yang bertugas di Kementah.
Kata beliau, bangunan yang baharu itu mula dibina pada 3 Julai 2017 dan siap sepenuhnya Disember 2020 dengan upacara majlis pecah tanah disempurnakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sejak September 2016.
“Projek pembangunan ini di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) LTAT yang menyumbang kira-kira RM30 juta untuk kos pembinaan.
“Wisma ini menyediakan keselesaan kepada anggota tentera dengan 200 bilik penginapan dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan serta peralatan moden termasuk surau, dewan banquet, gelanggang sukan, gimnasium dan lain-lain.
“Dengan siapnya wisma ini, mampu meningkatkan moral serta menjadi pemangkin yang akan melonjakkan profesionalisme dan keperkasaan ATM sebagai benteng utama pertahanan negara,” katanya pada majlis perasmian Wisma Bintara ATM, di sini, hari ini.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Menurut Ikmal Hisham, projek itu menjadi sebahagian daripada komitmen kementerian dan ATM dalam menjaga kebajikan warganya seiring dengan Pelan Tindakan 2022 (PT 22).
Ujar beliau, ia juga teras ketiga Pelan Strategik Mindef (PSM) yang menekankan pelestarian kesejahteraan warga kerja pertahanan. – MalaysiaGazette