MACC MITRA Funds Malaysian Indian Transformation Unit Ministry of National Unity B40
Gambar hiasan.

HAMPIR setiap bulan rakyat Malaysia disaji dengan berita penangkapan bagi kes
jenayah rasuah. Rata-rata penangkapan melibatkan pesalah dalam kalangan penjawat
awam. Menurut kajian, tiga elemen utama yang menjadi antara punca penglibatan penjawat awam dalam rasuah iaitu peluang, rasional dan tekanan. Misalnya, elemen peluang berkait dengan persekitaran pekerjaan yang lemah sehingga wujud peluang salah guna kuasa.

Bagi elemen rasional pula, kebanyakan pelaku menganggap kegiatan rasuah mudah dilakukan, sukar dihidu pihak berkuasa dan menjadi amalan biasa dalam organisasi. Manakala elemen tekanan berkait rapat dengan masalah keberhutangan serius yang sedang dihadapi sehingga mereka sanggup meminta rasuah untuk membiaya kos hidup.

Maka segala macam salah laku dalam pekerjaan termasuk rasuah akan berlaku apabila kesemua elemen ini wujud. Ironinya, terdapat pesalah rasuah yang tidak menyedari perbuatan mereka diklasifikasikan sebagai satu kesalahan jenayah rasuah. Tanpa ilmu yang mencukupi, mereka membuat andaian sendiri bahawa perbuatan mereka itu tidak salah dan tidak melanggar peraturan.

Sebagai contoh dalam perolehan kerajaan, penjawat awam tanpa rasa bersalah melantik
syarikat pembekal dalam kalangan ahli keluarga mereka sendiri seperti suami, isteri atau
adik-beradik. Pada kebiasaannya, transaksi ini bermula dengan nilai perolehan yang kecil
dan berlarutan sehingga ke nilai perolehan yang besar. Kedaan ini dilihat semakin buruk
apabila tiada aduan dalam kalangan orang awam atau penjawat awam lain yang turut
terlibat dengan perolehan tersebut.

Rasuah membawa padah menjelaskan bahawa jenayah ini memberi kesan buruk kepada
pelaku dan pihak lain yang terkesan dengan perbuatan rasuah tersebut. Kesan buruk ini
bukan hanya menjejaskan aspek fizikal malahan turut mengganggu aspek spiritual. Sebagai contoh, setelah dijatuhi hukuman, pesalah rasuah bukan hanya berhadapan dengan hukuman penjara dan penalti yang berganda malah maruah diri dan keluarga juga tergadai.

Ada ahli keluarga pelaku rasuah yang mengalami tekanan perasaan yang melampau
sehingga menjejaskan kesihatan diri akibat terkejut dan terlalu malu dengan perbuatan si
pelaku. Dalam konteks pekerjaan pula, rasuah memberi kesan buruk kepada hasil dan
kualiti perkhidmatan yang akhirnya mendatangkan kerugian kepada organisasi. Malahan,
imej dan prestasi organisasi turut tercalar akibat pembongkaran jenayah rasuah tersebut.

Dalam hal ini, semua sektor termasuk kerajaan dan bukan kerajaan terus giat berusaha
membendung kegiatan rasuah. Usaha ini merangkumi pelbagai inisiatif sama ada dalam
bentuk pencegahan, pengesanan atau pemulihan. Aspek pencegahan perlu diberi
keutamaan supaya jenayah rasuah dapat dikurangkan dengan berkesan. Seiring dengan
pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati, maka, rakyat Malaysia terlindung
daripada sebarang anasir jahat manakala pihak kerajaan dapat mengurangkan kos
perbelanjaan dalam aktiviti pengesanan dan pemulihan jenayah rasuah.

Peranan organisasi mahupun individu dalam aspek pencegahan rasuah perlu ditingkatkan
lagi menerusi pelbagai aktiviti. Antaranya ialah pembudayaan pembelajaran dalam
organisasi (organizational learning) khususnya dalam kalangan penjawat awam. Proses
pembelajaran dalam organisasi merangkumi aktiviti memperoleh ilmu (acquiring) dan
perkongsian ilmu pengetahuan (sharing knowledge) dalam kalangan staf menerusi pelbagai medium seperti perbincangan, perundingan, latihan dan sebagainya.

Agensi kerajaan seharusnya menggiatkan sesi pembelajaran dengan mewajibkan semua staf mendalami ilmu pengetahuan seperti ilmu pengurusan kewangan supaya maklum dengan peraturan dan prosedur yang berkuatkuasa. Pendekatan ini sekaligus dapat membendung elemen peluang dengan memperkukuh kawalan dalaman serta menambah baik persekitaran pekerjaan di dalam organisasi.  Justeru, etika kerja para penjawat awam akan sentiasa berlandaskan kepada peraturan dan nilai-nilai murni yang digariskan.

Kesimpulannya, gejala rasuah harus dibendung segera bagi mempertahankan
kesejahteraan rakyat amnya dan penjawat awam khususnya. Penjawat awam harus
menjalankan khidmatnya dengan penuh berintegriti dan berakauntabliti. Salah satu atau
semua elemen yang menjadi punca berlakunya gejala rasuah perlu dibendung seawal
mungkin menerusi kaedah pencegahan. Makanisme pencegahan rasuah lebih kos efektif
dan berkesan. Oleh itu, pihak kerajaan boleh menumpukan kepada agenda dan aktiviti yang lebih bermanfaat dan menyediakan peruntukan kewangan yang lebih besar kepada aspek pembangunan sosio-ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Oleh: Hafizah Marzuki
Staf Pengurusan dan Profesional di Universiti Sains Islam Malaysia
Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis.