Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shari melihat Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain memotong riben pada majlis pelancaran Majlis Perasmian Kaunter Bersepadu Majlis Perbandaran Kajang dan Pelancaran Sambutan Jubli Perak ke 25 Tahun di Majlis Perbandaran Kajang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 28 JANUARI 2022.

BALAKONG – Semua pemilik tanah dan pengusaha kilang yang masih belum mendapatkan kelulusan pembangunan diminta supaya segera mengemukakan permohonan pelan pembangunan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Langkah itu bagi mengelak mereka dikenakan tindakan penguatkuasaan, tegas Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain.

MPKj, katanya, boleh menarik balik lesen perniagaan, menyita dan meroboh bangunan sekiranya pihak tersebut tidak melaksanakan perkara berkenaan.

Malah tegasnya, tindakan pendakwaan boleh diambil dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Berdasarkan rekod majlis sebanyak 174 buah kilang beroperasi di kawasan ini dan hampir 70 peratus telah mempunyai CFO/CCC.

“Bermula pada tahun 220, kerajaan negeri telah melaksanakan program pemutihan kilang tanpa kebenaran di negeri Selangor.

“Pelbagai insentif telah diberikan kepada pemilik tanah,pengusaha kilang supaya mengemukakan permohonan pembangunan bagi memutihkan kilang masing-masing termasuk garis panduan yang minima, pengecualian kompaun kerja tanah, pengurangan denda pembangunan dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Pusat Asrama Pekerja Asing (PAPA) di sini hari ini.

Terdahulu, Najmuddin mengiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Majlis Perasmian Kaunter Bersepadu Majlis Perbandaran Kajang dan Pelancaran Sambutan Jubli Perak (25 Tahun MPKj) di Menara MPKj dekat Kajang.

MPKj telah mencapai usia 25 tahun status penubuhan
Perbandaran genap 1 Januari lalu. – MalaysiaGazette