Penduduk, Adam Mohd Sahat, 64 memasang bendera Wilayah Persekutuan di lorong kawasan perumahannya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan berhubung ketiadaan cuti umum ganti pada 3 Februari depan bagi kakitangan perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie Mammal berkata, pihaknya berpandangan perkembangan ini tidak adil dan bertentangan dengan semangat Perhubungan Perusahaan harmoni yang diharapkan serta bertentangan dengan Akta Kerja 1955 yang menyediakan peruntukan bagi cuti umum ganti yang bergaji.

UNI-MLC terkejut apabila dimaklumkan bahawa kakitangan awam diwajibkan bekerja pada 3 Februari 2022, sedangkan hari tersebut (Khamis) sepatutnya menjadi cuti umum ganti kerana kedua-dua Hari Wilayah Persekutuan dan Tahun Baharu Cina jatuh pada hari yang sama iaitu 1 Februari 2022 (Selasa).

Oleh itu, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, yang mana ia terpakai kepada dua-dua sektor awam dan swasta, cuti umum ganti seharusnya diberikan pada hari Khamis, kecuali majikan terbabit menyediakan bayaran gaji berganda atau
cuti gantian jika seseorang pekerja dikehendaki dan dia bersetuju untuk bekerja pada 3 Februari (Khamis).

Dalam situasi membabitkan kakitangan awam di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, tindakan meminta kakitangan awam bekerja dan tidak diberikan cuti, kecuali bagi perkhidmatan awam perlu (seperti hospital, penyiaran dan keselamatan), UNI-MLC berharap kerajaan akan memberikan cuti umum gantian dan tidak menafikan hak pekerja.

Shafie berkata, UNI-MLC juga difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menggunakan peruntukan pekeliling dan Akta Hari Kelepasan 1951 bahawa cuti umum ganti ini hanya terpakai sekiranya cuti umum berganda jatuh pada hari Ahad dan Jumaat, adalah tidak dapat diterima.

Sewajarnya kerajaan, terutama JPA telah mengambil tindakan pembetulan dari awal lagi kerana tahu akan ada cuti sempena Hari Wilayah Persekutuan dan Tahun Baharu Cina, dan sama sekali tidak harus membelakangkan peruntukan undang-undang berkaitan cuti umum gantian.

Satu solusi jangka panjang harus telah dikenal pasti sejak awal lagi dalam isu-isu serius seperti ini.

UNI-MLC hairan dengan langkah kerajaan dan JPA yang memandang ringan mengenai isu ini dan tidak mengambil tindakan pembetulan atau solusi dari awal lagi.

Sekiranya kerajaan terutama Kementerian Wilayah boleh mengumumkan cuti peristiwa sempena kemenangan Piala Malaysia 2021 pada tahun lepas, mengapa cuti umum ganti tidak boleh diberikan untuk Hari Wilayah Persekutuan dan Tahun Baharu Cina 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast