Gambar hiasan

1. Pengenalan

Kehidupan di dunia adalah bersifat sementara. Bagi umat Islam, dunia adalah tempat persinggahan sahaja sementara manusia menunggu ketibaan hari Akhirat. Kematian pula adalah suatu yang tidak dapat dielakkan oleh setiap insan. Ini adalah kerana kematian adalah pemutus kepada segala kenikmatan yang telah dikecapi seseorang semasa hayatnya.

Allah Taala telah berfirman dalam Surah Al-Jumu’ah ayat 8:
قُلْ اِنَّ الْمَوْتَ الَّذِيْ تَفِرُّوْنَ مِنْهُ فَاِنَّهٗ مُلٰقِيْكُمْ ثُمَّ تُرَدُّوْنَ اِلٰى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا
كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ ࣖ

Katakanlah, “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Imam al-Ghazali telah berkata, "Yang singkat itu waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah berbuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering dilupa adalah bersyukur."

Demikianlah hakikatnya, hidup di dunia adalah bersifat sementara, selepas mati kita akan dihidupkan di alam kubur dan kehidupan yang abadi ialah kehidupan di Akhirat. Apabila sampai waktunya, kita akan pergi menghadap Ilahi tanpa diketahui cara dan bila kematian tersebut kerana ianya menjadi rahsia Ilahi.

Perpisahan disebabkan oleh kematian adalah suatu yang menyakitkan dan sukar untuk diterima. Apatah lagi kematian secara mengejut akan meninggalkan bekas kesedihan yang mendalam terutamanya apabila kita masih belum bersedia untuk kehilangan mereka yang tersayang.

Namun begitu, tangisan di atas kematian si mati akan bertukar kepada persengketaan yang berpanjangan sekiranya berlaku perebutan harta si mati dalam kalangan ahli keluarga si mati. Perkara ini sering terjadi dalam keadaan di mana si mati meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat.

Persengketaan dalam kalangan waris kepada si mati mungkin juga berlaku sekiranya mereka tidak memahami bahawa harta si mati hanya boleh bertukar tangan kepada waris yang layak setelah berlakunya proses yang telah ditetapkan mengikut undang-undang untuk memperoleh kuasa untuk melantik wasi atau pentadbir bagi mentadbir pembahagian harta si mati.

Oleh itu, cara pengurusan harta pusaka yang terbaik adalah diperlukan agar tidak berlaku perselisihan faham kepada waris si mati. Pembahagian harta pusaka perlu dirancang secara awal dan teratur serta mengikut undang-undang terpakai.

Justeru, adalah amat penting bagi setiap individu untuk mendapatkan maklumat mencukupi dan berkaitan mengenai kaedah menguruskan harta pusaka melalui pembacaan yang luas. Di samping itu, seseorang juga boleh mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat daripada peguam, perunding pusaka profesional ataupun AmanahRaya, iaitu sebuah badan yang memberikan perkhidmatan peramanahan dan pentadbiran harta pusaka.

2. Pengurusan Harta Pusaka si Mati melalui Probet dan Surat Kuasa Mentadbir

Undang-undang yang terpakai secara umum dan berkaitan dengan pembahagian harta pusaka adalah Akta Pengedaran 1958 (sebagaimana dipinda oleh Akta Pengagihan) (Pindaan 1997). Bagi muslim, undang-undang yang berkaitan adalah Faraid. Dokumen penting dalampembahagian harta pusaka adalah wasiat. Wasiat adalah dokumen penting yang akan menentukan pembahagian harta peninggalan si mati. Ia berbentuk arahan kepada wasi bagi membolehkannya untuk menjalankan arahan untuk menyempurnakan hasrat pewasiat (si mati semasa hayatnya) terutamanya dari segi pengagihan harta pusaka.

Wasiat juga bermaksud pengakuan yang telah dilakukan oleh pewasiat semasa hidupnya ke atas hartanya atau apa-apa yang berbentuk manfaat selepas kematiannya bagi tujuan kebajikan atau yang dibenarkan oleh undang-undang Islam. Kewujudan wasiat atau sebaliknya akan menentukan sama ada pembahagian harta pusaka akan dilakukan melalui probet ataupun surat kuasa mentadbir.

Geran Probet adalah dokumen yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi membuktikan wasiat terakhir si mati adalah sah dan boleh dikuatkuasakan. Maka, dalam permohonan untuk mendapatkan Geran Probet, wasiat mestilah telah dibuat oleh si mati semasa hayatnya. DalamProbet melibatkan pelantikan seorang pentadbir (atau sebanyak empat orang pentadbir) oleh mahkamah sivil untuk mentadbir dan membahagikan harta pusaka si mati. Setelah geran probet diperoleh, maka executors’ boleh membayar semua hutang atau melakukan pindah milik hartanah dan membahagikan semua asset kepada benefisiari.

Surat Kuasa Mentadbir adalah dokumen yang membolehkan pelantikan seorang pentadbir (personal representative/administrator) oleh mahkamah untuk mengurus dan mentadbir harta pusaka si mati dalam keadaan si mati telah meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat.Mana-mana individu (termasuk ahli keluarga si mati atau pemiutang) yang berasa mempunyai kepentingan terhadap harta pusaka si mati boleh memfailkan suatu permohonan untuk mendapatkan geran Surat Kuasa Mentadbir. Geran Surat Kuasa Mentadbir akan membolehkan seorang waris dilantik sebagai pentadbir dalam proses membahagikan harta pusaka peninggalan si mati.

Bagi harta pusaka yang tidak melibatkan harta tidak boleh alih (immovable property) bernilai melebihi RM600, 000, penjamin (guarantors or sureties) adalah diperlukan untuk menjamin pembahagian harta pusaka oleh wasi. Bagi harta pusaka yang bernilai RM600, 000 atau kurang daripada jumlah tersebut, permohonan untuk surat kuasa mentadbir boleh difailkan di Amanah Raya Berhad. Amanah Raya Berhad yang beroperasi di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Public Trust Corporation Act 1995) mempunyai kuasa statutori untuk mentadbir harta pusaka si mati dengan memohon Geran Probet atau Surat Kuasa Mentadbir daripada Mahkamah Tinggi Sivil atau Pejabat Tanah.

Secara perbandingan pula, bagi harta pusaka yang melibatkan harta tidak boleh alih yang bernilai tidak melebihi RM2 juta, permohonan hendaklah dibuat kepada Pentadbir Tanah Daerah mengikut ketetapan di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (the Small Estate (Distribution) Act of 1955).

Walau bagaimanapun, penjelasan di atas adalah terpakai kepada pembahagian harta pusaka yang melibatkan orang bukan Islam. Dalam pembahagian harta pusaka yang melibatkan orang Islam, pentadbir (termasuk Amanah Raya) boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendapatkan sijil Faraid bagi tujuan pembahagian harta pusaka mengikut hukum Faraid.

Manakala harta pusaka besar pula ialah semua harta peninggalan si mati dengan wasiat atau tanpa wasiat, dan harta alih dan harta tak alih yang berjumlah RM2 juta ke atas kesemuanya tertakluk di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 [Akta 97].

Permohonan mestilah dilakukan di Mahkamah Tinggi Sivil melalui peguam atau pihak yang mempunyai kepentingan seperti Amanah Raya Berhad. Permohonan bagi pengurusan harta pusaka besar hendaklah mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir di Mahkamah Tinggi. Setelah itu, Pentadbir mestilah mendaftarkan Surat Kuasa Mentadbir di Pejabat Tanah.

3. Permohonan untuk Pengurusan Harta Pusaka melalui Probet dan Surat Kuasa Mentadbir

Ahli keluarga si mati atau waris boleh membuat permohonan untuk pengurusan harta pusaka melalui Probet dan Surat Kuasa Mentadbir tanpa melibatkan khidmat peguam. Walau bagaimanapun, penggunaan khidmat peguam akan dapat memastikan proses permohonan lebih lancar terutamanya bagi permohonan yang rumit ataupun dipertikaikan oleh waris.

Permohonan untuk mendapatkan geran probet melibatkan beberapa surat cara mahkamah iaitu – saman pemula, affidavit sokongan, affidavit saksi, notis pelantikan peguamcara, senarai asset dan liabiliti, senarai benefisiari, sumpah pentadbiran dan geran probet. Dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan pula adalah sijil kematian, kad pengenalan pentadbir, dan semua waris dan wasiat asal (original will) Sijil Faraid daripada Mahkamah Syariah (untuk orang Islam) beserta senarai semua harta alih/tidak alih yang dimiliki oleh si mati.

Permohonan untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir pula melibatkan surat cara mahkamah iaitu – saman pemula, affidavit sokongan, penolakan, notis pelantikan peguam cara, senarai asset dan liabiliti, senarai benefisiari dan juga sumpah pentadbiran.

4. Kesimpulan

Kesimpulannya, penggunaan geran probet dan surat kuasa mentadbir amat signifikan dalam pentadbiran harta pusaka. Apabila geran probet atau surat kuasa mentadbir diperoleh, ianya memudahkan untuk melakukan pembahagian harta pusaka kepada ahli waris yang berhak. Justeru itu, pengetahuan yang meluas berkaitan pentadbiran harta pusaka sewajarnya diambil serius oleh masyarakat pada hari ini.

Hal ini kerana, ianya dapat mengelakkan kelewatan dalam pembahagian harta pusaka si mati yang boleh mengakibatkan kesusahan di kemudian hari. Di samping itu, dengan adanya pentadbiran harta pusaka dapat melancarkan pembahagian harta pusaka tersebut seterusnya dapat menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi di Malaysia. Oleh itu, setiap individu hendaklah mempunyai sikap prihatin terhadap harta pusaka.

Sekiranya masih keliru, individu tersebut perlulah mendapatkan khidmat nasihat guaman dari mana-mana peguam yang arif dalam perkara ini atau boleh juga mendapatkan nasihat daripada jabatan bantuan guaman.

5. Cadangan

Masyarakat pada hari ini hendaklah membuka mata untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai pentadbiran harta pusaka melalui geran probet dan surat kuasa mentadbir. Selain itu, badan yang berkaitan hendaklah mengadakan kempen kesedarankepada masyarakat bagi mendedahkan perkara berkenaan perancangan harta, pentadbiran harta pusaka termasuk juga prosedur-prosedur yang perlu diikuti bagi mendapatkan geran probet dan surat kuasa mentadbir.

Arus pemodenan yang semakin berkembang pesat perlulah digunakan dalam menjayakan kempen kesedaran ini seperti penggunaan media elektronik dan media sosial kerana ianya merupakan suatu pendekatan yang efektif kepada masyarakat. Seterusnya, kewujudan pelbagai institusi dan perbezaan penggunaan undang-undang yang terpakai menyukarkan masyarakat untuk membuat tuntutan harta pusaka. Oleh itu, kerajaan perlulah mewujudkan satu institusi sahaja berkaitan pengurusan harta pusaka supaya masyarakat tidak keliru dalam membuat tuntutan berkenaan harta pusaka.

Oleh:  Norman Zakiyy dan Nur Umairah Mohd Jais
Klinik Guaman Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia