Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Dagangan di Bursa Malaysia dijangka lengang minggu depan dengan indeks utama bergerak dalam julat yang ketat berikutan cuti Tahun Baharu Cina (CNY) dan Hari Wilayah Persekutuan.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kemungkinan berlegar dalam jajaran sempit antara 1,510 dan 1,520 mata, dengan rintangan serta-merta pada 1,530 dan sokongan pada 1,500.

Pada sesi urus niaga minggu ini, pergerakan bursa tempatan dipengaruhi terutamanya oleh peristiwa yang berlaku di Eropah Timur dengan ketegangan antara Rusia dan Ukraine selain mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS dengan Rizab Persekutuan memberikan isyarat akan kenaikan kadar faedah pada bulan Mac.

Pada masa yang sama, kebimbangan terhadap varian COVID-19 dan peningkatan kes baharu juga terus membebani pasaran.

Untuk minggu baru berakhir, Bursa Malaysia menunjukkan prestasi yang lebih tinggi, didorong oleh kegiatan memburu saham berharga murah sambil menjejaki pergerakan di Wall Street, pasaran ekuiti serantau dan harga komoditi.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumat, FBM KLCI jatuh 7.04 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,520.02 daripada 1,527.06 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 58.21 mata kepada 10,901.04, Indeks FBMT100 menguncup 58.29 mata kepada 10,607.16, dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 80.61 mata kepada 11,580.59.

FBM 70 kerugian 113.62 mata kepada 13,361.21 dan FBM ACE turun 65.49 mata kepada 6,059.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 3.03 mata kepada 15,779.64, Indeks Perladangan susut 49.17 mata kepada 6,650.11 dan Indeks Tenaga meningkat 15.31 mata kepada 741.19.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.42 mata kepada 200.41, Indeks Teknologi lebih rendah 0.05 satu mata kepada 80.38 dan Indeks Penjagaan Kesihatan menyusut 65.83 mata kepada 2,123.18.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 12.23 bilion unit bernilai RM9.18 bilion daripada 12.18 bilion unit bernilai RM8.85 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 7.37 bilion saham bernilai RM7.82 bilion berbanding 7.78 bilion saham bernilai RM7.79 bilion.

Jumlah perolehan waran mengembang kepada 1.53 bilion unit bernilai RM169.61 juta daripada 1.17 bilion unit bernilai RM125.24 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 3.28 bilion saham bernilai RM1.18 bilion daripada 3.21 bilion saham bernilai RM919.50 juta pada minggu sebelumnya.

Bursa Malaysia Bhd turut mengumumkan dagangan di bursa akan dibuka separuh hari sahaja pada Isnin, 31 Jan, 2022, dan akan ditutup pada sesi petang sebelum Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, perkhidmatan penjelasan dan penyelesaian yang disediakan oleh Bursa Malaysia Securities Clearing; perkhidmatan depositori yang disediakan oleh Bursa Malaysia Depository termasuk perkhidmatan penjelasan yang disediakan oleh Bursa Malaysia Derivatives Clearing akan diteruskan seperti biasa sehingga akhir hari perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Bursa Malaysia dan semua anak syarikatnya akan ditutup pada 1 Feb (Selasa) dan 2 Feb (Rabu) depan sempena cuti Tahun Baharu Cina dan Hari Wilayah Persekutuan.

Bursa dan anak-anak syarikat akan beroperasi semula pada 3 Feb, 2022. – MalaysiaGazette