KUALA LUMPUR – Langkah Malaysia untuk mengharamkan penjualan semua produk rokok dan vape kepada generasi akan datang akan membantutkan produktiviti sosio-ekonomi dan hanya memberi manfaat kepada sindiket jenayah terutamanya yang terlibat dalam
mengedar produk seludup.
Pengarah Urusan Runcit dan Perdagangan Jenama Advokasi Malaysia Bab (RTBA Malaysia) Datuk Fazli Nordin berkata, berdasarkan analisis yang dibuat oleh RTBA Malaysia, negara masih belum bersedia untuk mengadaptasi pendekatan New Zealand dalam mengharamkan produk rokok dan vape untuk generasi akan datang.
Halangan yang paling utama adalah keberadaan rokok seludup yang sangat tinggi di Malaysia.
Hari ini, Malaysia merupakan salah satu negara tertinggi di dunia dalam penyeludupan rokok dengan 57.3% daripada pasaran. Ini telah menyebabkan Kerajaan kehilangan RM5 bilion hasil cukai tidak dikutip setiap tahun.
”Bayangkan apakah kesan yang akan diperolehi dari tindakan pengharaman rokok dan produk vape? Sindiket jenayah akan menikmati pasaran monopoli seluruh segmen penduduk yang lahir dari tahun 2005 dan seterusnya! Kesan sosio-ekonomi untuk senario ini tidak dapat dibayangkan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, di Geneva semalam mengenai rancangannya untuk mengharamkan rokok untuk generasi akan datang dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada individu yang lahir selepas tahun 2005.
Memetik kajian kes baru-baru ini, RTBA Malaysia menjelaskan, Bhutan telah melaksanakan pengharaman penjualan rokok dan larangan merokok di kawasan awam pada tahun 2004.
Hasil daripada larangan ini, penyeludupan rokok haram berkembang pesat.
Akibatnya, kelaziman merokok kekal tinggi dengan lebih ramai belia terjebak dengan tabiat ini kerana rokok haram mudah didapati dan tidak terkawal.
Fazli menegaskan bahawa larangan Singapura secara terang-terangan terhadap e-rokok adalah satu lagi contoh yang baik dalam hal vape.
”Walaupun larangan itu telah berkuatkuasa, Penguasa Sains Kesihatan (HAS) melaporkan terdapat 9,738 kes melibatkan pengimportan haram e-vaporiser
dan 196 kes melibatkan penjualan produk tersebut dari 2018 hingga 2020.
”Singapura adalah negara yang berbangga dengan penguatkuasaan yang ketat, undang-undang dan kelaziman rendah produk
haram dalam pasarannya,” tambahnya.
Menurut Fazli, sebelum Malaysia boleh mempertimbangkan pengharaman rokok dan produk vape dalam pasarannya, ia perlu menurunkan kelaziman rokok seludup ke tahap yang rendah melalui pembaharuan eksais dan penguatkuasaan yang dipertingkatkan.
”Di New Zealand, kelaziman rokok haram adalah di bawah 15%. Mereka juga mempunyai program berhenti merokok yang ‘advance’ yang merangkumi e-rokok. Walaupun ini adalah faktor membolehkan perlaksanaan untuk dasar Tobacco Generation End Game, hasil inisiatif ini masih jauh dari pasti dan akhirnya mungkin tidak produktif pada kemajuan yang telah dicapainya ke arah matlamat Bebas Asap rokok 2025.
“Sejarah telah mengajar kita bahawa larangan sering membawa kepada kesan negatif,” ujarnya. – MalaysiaGazette