Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022 yang akan mula berkuatkuasa hari ini sehingga 4 Februari di Pasar Pudu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pematuhan peniaga terhadap pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2022 dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berada pada tahap yang baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau berpuas hati dengan kadar pematuhan yang ditunjukkan oleh peniaga selepas meninjau sendiri harga barangan dan situasi bekalan keperluan.

“Hari ini kita memantau aktiviti pembelian orang ramai sebelum menyambut perayaan Tahun Baharu Cina kerana kita telah tetapkan SHMMP dan SHMKM yang berlangsung serentak.

“Saya juga amat berpuas hati dengan pematuhan peniaga kepada skim yang telah ditetapkan dari segi harga maksimum dan kita juga dapat lihat ada barangan yang dijual lebih rendah daripada harga maksima. Jadi saya ucap terima kasih kepada peniaga yang berikan kerjasama baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Pasar Pudu di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Ariffin Samsudin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menunjukkan senarai barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022 yang akan mula berkuatkuasa hari ini sehingga 4 Februari di Pasar Pudu, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 JANUARI 2022.

Pada 26 Januari lalu, Alexander berkata, sebanyak enam jenis barangan terkawal disenaraikan dalam SHMMP Tahun Baharu Cina 2022 melibatkan ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, babi hidup dan daging babi termasuk perut, daging serta lemak yang berkuatkuasa bermula 29 Januari sehingga 4 Februari depan.

Jelas beliau, keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMMP dan SHMKM adalah sebanyak 18 jenis barangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast