Datuk Norshida Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terpaksa diadakan bukan untuk UMNO mahu kuasa atau kerajaan hendak memaksa rakyat mengundi.

Sebaliknya, ujar Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim, ia adalah soal mandat rakyat supaya kerajaan negeri dipimpin oleh parti yang kuat dan stabil.

Kata beliau, dakwaan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat kononnya PRN Johor akan melibatkan belanja yang besar iaitu sehingga RM150 juta adalah kenyataan retorik daripada pembangkang.

“Itulah retorik daripada pembangkang apabila Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memohon perkenan Sultan Johor untuk membubarkan DUN dan diadakan PRN.

“Belanjawan 2022 Johor hampir tidak lulus kerana pembangkang hanya main retorik mahu sokong, tetapi ugut serta beri pelbagai syarat dengan segala kepentingan mereka. Belum lagi dasar-dasar lain.

“Apakah perlu dikorbankan kebajikan rakyat serta kestabilan negeri hanya kerana perlu berhadapan dengan segala ugutan serta tindakan yang hanya retorik dalam memberi sokongan?,” soal beliau menerusi satu kenyataan, hari ini.

Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat berkata, sebab itu rakyat Johor perlu buat pilihan yang betul dan tepat menerusi PRN.

“Bukan undi mengikut emosi, bukan undi ikut trend. Ingat rakyat Johor, kita telah menghadapi krisis pertukaran Menteri Besar lebih dua kali selepas PRU-14. Keadaan ini sangat mengurangkan keyakinan pelabur.

“Begitu juga dengan kerajaan yang hanya lebih satu kerusi, pelabur tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan yang tidak stabil.

“Kita mungkin perlu belanjakan kos RM150 juta untuk PRN ini, jumlahnya kedengaran sangat banyak, tetapi kos ini adalah soal memberi semula hak rakyat memilih kerajaan yang kuat,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau lagi, rakyat Johor perlukan kerajaan yang stabil untuk menggerakan ekonomi negeri itu selepas pandemik Covid-19, bukan kerajaan yang mempunyai lebihan satu kerusi serta dibentuk dengan simpati pihak lawan. – MalaysiaGazette