PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menggariskan tiga prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi perjalanan ibadah umrah yang akan bermula 8 Februari ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara SOP berkenaan termasuk memastikan jemaah lengkap vaksinasi dan wajib mengambil dos penggalak demi keselamatan dan kesejahteraan jemaah.
Beliau berkata, pihaknya juga mahu setiap jemaah dilindungi oleh insurans yang memberi perlindungan kesihatan termasuk keperluan rawatan, isolasi dan kuarantin bagi jangkitan Covid-19 semasa di Arab Saudi dan semasa pulang ke Malaysia.
Nancy menambah, SOP baharu perjalanan umrah itu telah pun diperhalusi MOTAC, Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan dibawa ke Mesyuarat Kuartet untuk kelulusan.
Nancy berkata, proses memuktamadkan SOP baharu telah mengambil kira kepentingan semua pihak secara holistik termasuk mengimbangi aktiviti umrah dengan pelaksanaan prosedur protokol kesihatan dan keselamatan yang lebih rapi.
Katanya, SOP tersebut adalah panduan untuk mengekang penularan Covid-19 ketika menjalankan aktiviti umrah.
Nancy berkata, beliau berharap keputusan ini akan disambut baik oleh syarikat pengendali umrah dan buat Keluarga Malaysia serta mengingatkan semua pihak untuk mematuhi SOP terbaharu yang akan diumumkan kelak bagi mengekang penularan Covid-19.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Januari 2022 telah bersetuju untuk membenarkan semula aktiviti perjalanan umrah bagi jemaah dari Malaysia bermula pada 8 Februari ini.
Pada 8 Januari lalu, kerajaan telah membuat keputusan yang sukar tetapi perlu dan wajar untuk menggantung sementara perjalanan menunaikan ibadah umrah setelah menilai data penularan COVID-19 varian Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang ke tanah air. – MalaysiaGazette