Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan menyertai Minggu ke-18 Ekspo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertemakan “Sustainable Energy and Natural Resources” mulai 30 Januari sehingga 5 Februari 2022.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hasaan berkata, delegasi KeTSA akan disertai oleh para pegawai Kementerian dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM) selaku agensi pelaksana serta 13 syarikat tempatan yang terlibat dalam sektor tenaga atau sumber asli yang bertaraf industri kecil, sederhana dan multinasional.

Pemain-pemain industri ini akan mempromosikan perkhidmatan dan produk masing-masing, di samping meneroka dan mengembangkan peluang kerjasama perniagaan dan pelaburan dengan pihak-pihak yang turut menyertai ekspo ini.

Sepanjang Minggu ke-18 ini juga, KeTSA telah mengatur pelbagai program meliputi pameran berbentuk digital, sesi perkongsian maklumat perniagaan, pitching sessions, sesi padanan perniagaan, pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) serta menyertai beberapa aktiviti lain di Ekspo 2020 Dubai. – MalaysiaGazette