MELAKA – Kluster pendidikan di Melaka terus mencatatkan angka membimbangkan dengan pertambahan tiga lagi kluster baharu membabitkan 74 pelajar dan guru positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, berikutan itu Melaka kini mempunyai tujuh kluster pendidikan aktif dengan keseluruhan kes positif membabitkan 335 pelajar dan guru.

Menurut beliau, kluster pendidikan terbaharu direkodkan semalam adalah Kluster Jalan Telok Mas membabitkan 24 pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah positif daripada 195 kontak rapat yang telah disaring.

“Dua lagi institusi pendidikan lain adalah Kluster Paya Lebar di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Masjid Tanah iaitu daripada 460 kontak rapat disaring, 31 adalah positif.

“Kluster pendidikan ketiga adalah Kluster Jalan Sungai Air Hitam, jangkitan di sekolah tahfiz Pusat Bimbingan Al Islah di Tanjung Minyak yang menyaksikan 19 pelajar dan pengajar positif daripada 42 kontak rapat yang disaring,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua 74 pelajar dan guru yang positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh untuk rawatan lanjut.

“Kesemua tiga institusi pendidikan terbabit turut diarah tutup antara tujuh hingga 10 hari bermula Jumaat lalu bagi tujuan sanitasi dan pemantauan berterusan dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Bagaimanapun bagi semua kes terbaharu dalam tiga kluster ini, tiada varian Omicron dikesan,” katanya.

Pada 25 Januari lalu, Dr Rusdi mendedahkan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini semakin membimbangkan yang ketika itu menyaksikan seramai 261 pelajar di empat buah institusi pendidikan negeri itu disahkan positif Covid-19.

Situasi itu katanya, boleh mendorong kepada peningkatan kes bagi kluster pendidikan termasuk merebak ke sekolah harian dan berasrama sekiranya masyarakat tidak berwaspada dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast