Tujuh nelayan ditahan susulan guna pukat lohong tangkap ikan di Tanjung Bungah, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Tindakan tujuh lelaki tempatan melakukan aktiviti tangkap ikan menggunakan pukat lohong membawa padah selepas kesemua mereka ditahan di Tanjung Bungah, di sini, semalam.

Kesemua mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang ketika melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada jam 12.40 tengah malam.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua nelayan berusia lingkungan 18 hingga 34 tahun itu ditahan di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Tanjung Bungah.

Hasil pemeriksaan kita dapati kesemua lelaki yang berada di atas bot berkenaan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat lohong iaitu peralatan yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan.

“Semakan mendapati, bot nelayan tempatan itu berpangkalan di Bakau Tua, Penaga dan kita turut menyita bot tersebut.

“Tujuh lelaki itu ditahan sebelum dibawa ke Pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan. – MalaysiaGazette