Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah maksimum pengumpulan gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dibayar award wang tunai bagi pegawai kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatan adalah 160 hari, kata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80 hari hanya boleh dibuat sekali sahaja sepanjang perkhidmatan pegawai, manakala baki 80 hari GCR terkumpul akan dibayar pada tahun persaraan wajib pegawai.

Oleh itu, ketua jabatan hendaklah menggunakan aplikasi Sistem Pengiraan GCR yang boleh dimuat turun di portal www.jpapencen.gov.my untuk tujuan pengiraan GCR yang tepat bagi pemberian awal award wang tunai GCR.

Tambahnya, ketua jabatan juga perlu memastikan pengumpulan GCR yang dibuat sepanjang tahun perkhidmatan pegawai adalah betul dan teratur sebagaimana kehendak peraturan yang berkuat kuasa.

Kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2022 telah bersetuju menaikkan jumlah hari maksimum GCR daripada 150 hari kepada 160 hari dan membenarkan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022.

Sekiranya pegawai telah mengumpul GCR melebihi 160 hari, lebihan GCR yang terkumpul berkenaan boleh digunakan oleh pegawai sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.

JPA menambah, pegawai yang telah memilih Skim Pencen mahupun Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhasrat untuk memohon pemberian awal award wang tunai GCR perlu memenuhi beberapa syarat.

Syarat-syarat tersebut iaitu tempoh perkhidmatan pegawai yang boleh dimasuk kira hendaklah tidak kurang daripada 15 tahun; pegawai telah mencapai umur 45 tahun; jumlah GCR yang terkumpul sebelum permohonan pemberian awal award wang
tunai GCR hendaklah sekurang-kurangnya 80 hari; bebas daripada sebarang prosiding jenayah atau tindakan tatatertib; dan mendapat perakuan daripada Ketua Jabatan.

Semua dokumen permohonan pemberian awal award wang tunai GCR yang telah diperakukan hendaklah dikemukakan melalui Ketua Jabatan kepada Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA. Surat Edaran boleh dimuat turun melalui portal JPA di https://tinyurl.com/59en9n7v.

Maklumat perhubungan berkaitan GCR boleh diajukan ke talian 03-8885 4686 / 4428 / 4431 / 4670 / 4427 / 4729 atau e-mel ke [email protected]. – MalaysiaGazette