Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menetapkan garis masa yang jelas (definite time line) bagi pembukaan semula sempadan negara selepas ditutup sejak penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat gesaan itu berkata, pembukaan semula sempadan secara secara berperingkat perlu bagi memulihkan pelbagai kegiatan ekonomi termasuk perdagangan, perindustrian, pelaburan dan pelancongan.

“MPN telah usulkan supaya sempadan negara telah dibuka secara berperingkat secepat mungkin kita cadang Januari 2022 tapi tak buka juga.

“Kerajaan kena ada definite timeline, sebulan ke, dua bulan ke (buka sempadan).

“Kita tutup sepanjang masa pun tak boleh, proses pemulihan ekonomi takkan berlaku, sekarang memang ada (proses pemulihan ekonomi) tapi terbatas dan kita takkan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Resepsi Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), di sini, hari ini.

Sebelum ini, MPN mencadangkan sempadan negara dibuka kepada pelawat antarabangsa selewat-lewatnya pada 1 Januari lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata, pembukaan sempadan boleh dibuat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) tertentu termasuk kuarantin dan ujian calitan.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, proses pemulihan negara perlu terus berjalan dan selaku pengerusi MPN usaha itu akan terus dipertingkat dengan sokongan kerajaan.

“Saya nak ingatkan lagi bahawa Covid-19 belum selesai dengan omicron berada dalam kalangan kita.

“Sebab itu sebagai pengerusi MPN kita minta rakyat berjaga-jaga supaya Covid-19 bertahan dan proses pemulihan berjalan secara lebih rancak.

“Saya yakin selepas ini MPN akan usulkan kepada kerajaan supaya pembukaan sempadan itu dapat dibuka secara berperingkat dalam tempoh masa yang tidak berapa lama lagi, kerana salah satu perkara amat penting ialah pintu masuk negara kita perlu dibuka untuk membolehkan pelbagai kegiatan ekonomi negara, baik perdagangan, perindustrian, pelaburan dan pelancongan dapat dilakukan secara lebih meluas dengan mengambil kira sop-sop yang agak lebih sesuai.

“Kita tahu Omicron dan Covid masih berada, kalau pintu negara tutup sepanjang negara proses ekonomi negara tak akan berlaku, sekarang terhad terbatas

“Jadi, saya rasa bertanggungjawab supaya perhatian diberi perdana menteri khususnya jemaah menteri tentang cadangan yang telah kita MPN kemukakan kepada kerajaan ke tahap lebih baik,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, pihaknya tidak bersetuju jika pintu sempadan negara untuk tujuan ekonomi terus ditutup untuk tempoh lebih lama lagi.

“Mesyuarat bulan depan saya nak tahu kalau dia (kerajaan) kata tutup sepanjang masa saya tak setuju, buka semua (qualify test and all) pun saya tak setuju ada negara yang mana kita lihat sudah dapat berjaya mengawal kita boleh pergi Dubai tapi ikut SOPnya sampai sana tidak ada saringan dan kuarantin.

“Tapi, kita sebelum datang (negara) kena buat saringan dan jalan macam biasa dan ada kuarantin, kita boleh travel tapi kalau tak travel saya tak boleh pergi sana dan menyampaikan ucapan dan jumpa pelabur, saya jumpa 80 pelabur di sana kalau mereka tak boleh ke sini untuk jumpa sekitar macam mana mereka nak melabur,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast