KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia akan menyiasat insiden kematian terbaharu membabitkan seorang Orang Kena Tahan (OKT) di Kuantan Pahang.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Komisioner Datuk Azri Ahmad berkata, siasatan telah dimulakan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT).
Menurut beliau, pada 25 Januari lalu, OKT berusia 38 tahun itu telah dihantar ke Lokap Berpusat Indera Mahkota, Kuantan, Pahang untuk hadir perbicaraan pada 3 Februari 2022 bagi kes Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, OKT berkenaan yang dibawa dari Penjara Penor, Kuantan mengadu sakit dada pada 28 Januari lalu dan dibawa ke Hospital Kuantan untuk menerima rawatan.
“Kemudian, pada 2 Februari 2022, pihak Hospital Kuantan memaklumkan bahawa OKT berkenaan telah meninggal dunia dan sebab kematian adalah akibat Tuberkulosis (Tibi).
“USJKT JIPS Bukit Aman bagaimanapun akan menjalankan siasatan berkaitan kes kematian OKT tersebut,” tegasnya. – MalaysiaGazette