TVET
Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET.-Foto Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Sebuah Badan Koordinasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) telah ditubuhan bagi menjayakan menjayakan agenda TVET negara.

Badan yang julung kali ditubukan itu dianggotai 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang telah bersetuju untuk bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda TVET negara.

Penubuhan GITC dibuat dalam Mesyuarat Majlis TVET (MTVET) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara telesidang hari ini.

“Mesyuarat juga telah bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Mesyuarat MTVET diadakan secara telesidang – Foto Pejabat Perdana Menteri

Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar.

Menurut Ismail Sabri, sejumlah 12 hab telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di seluruh negara.

Hab tersebut termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan.

Turut dipersetujui, cadangan penarafan tunggal TVET yang memerlukan proses libat urus bersama kementerian serta industri sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.

Ismail Sabri berkata, inisiatif yang diambil akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang permintaan dan penawaran tenaga kerja di Malaysia.

Menurut beliau, usaha yang dilaksanakan oleh MTVET juga amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan,” kata Ismail Sabri.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion di bawah RMK-12 untuk memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan.

Antaranya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1 supaya mereka boleh membuat pilihan yang bersesuaian dengan kecenderungan masing-masing.

Sehingga kini terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh negara yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.

Selain itu Kerajaan juga telah mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN).

Institusi pendidikan tinggi awam yang terlibat adalah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Selain itu kempen, promosi dan penjenamaan semula TVET juga akan dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.

Melalui kempen dan promosi tersebut Kerajaan berharap TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik sekaligus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan sepertimana negara maju yang lain.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast