Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Cabaran paling besar yang perlu dicapai oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi adalah mengembalikan semula kuota pembuat dasar berdasarkan komposisi kaum di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, rakyat Johor diwakili 55 peratus kaum Melayu, 40 peratus Cina dan lima peratus kaum India.

Bagaimanapun, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak mencerminkan kedudukan pembuat dasar negeri berdasarkan komposisi kaum kerana wakil kerajaan hampir keseluruhannya Melayu, seorang Cina manakala wakil pembangkang pula kebanyakannya Cina.

“Apabila berbahas (di Dewan Undangan Negeri), ia membabitkan antara wakil rakyat Melayu dan wakil rakyat Cina. Jadi keadaan sebelum PRU-14 perlu dikembalikan semula.

“Inilah cabaran besar pada saya yang perlu ditangani,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam pertemuan baru-baru ini.

Oleh itu, Hasni menambah, BN perlu memberi pertimbangan untuk mencalonkan MCA di kawasan majoriti Melayu dan mahu calonnya mesti menang supaya parti komponen BN itu mempunyai wakil dalam badan pembuat dasar negeri.

”Jika tidak, keseimbangan tidak akan berlaku dan ini bukan Johor kerana selama ini Johor memiliki pembuat dasar yang seimbang.

“Dulu ada dua Exco MCA, sekarang kena pinjam orang. Perkara itu sangat menyedihkan, ujar Hasni.

Hasni akan membawa naratif itu kepada rakyat supaya pengundi-pengundi fahaman berhubung perkara ini.

“Mereka (rakyat) perlu memahami, saya berharap rakyat memberi sokongan padu dalam bentuk undi mereka nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata, proses mencadangkan calon-calon masih berjalan di peringkat Bahagian UMNO.

“Bahagian akan memilih dua atau tiga calon untuk kita putuskan kemudian. Namun, tidak semestinya calon-calon itu akan dipilih kerana kita boleh juga memilih mereka yang tidak dicalonkan.

“Paling penting, calon tersebut disenangi dan boleh memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya sambil memberitahu UMNO Johor dalam momentum terbaik dalam persediaan menghadapi PRN.

Jelasnya, meskipun jentera BN akan dilancarkan pada hujung minggu ini tetapi di peringkat Bahagian semuanya sudah bersiap-sedia malah semakin rancak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast