Pemain Penang FC, Endrick Dos Santos (kanan) tenang mengawal bola walaupun cuba dirampas pemain Sarawak United FC, Veenod Subramaniam (kiri) pada perlawanan TM Piala Malaysia 2021 saingan kumpulan A di di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah import Penang FC, Endrick dos Santos mengakui prestasinya bersama pasukan Pulau Mutiara adalah yang terbaik sepanjang berada dalam kancah Liga Malaysia sejak 2018.

Memasuki tahun kelima pemain kelahiran Brazil ini di Malaysia, dia tidak menolak perjalanan kariernya bertambah baik terutamanya selepas berhijrah ke Penang FC bermula musim 2020.

Jelas Endrick, sejak dia hadir ke Malaysia pada tahun 2018, dia berpeluang untuk merasai gelaran juara sebanyak dua kali iaitu ketika bersama Felcra FC dan Penang FC selaku juara Liga Premier pada musim 2018 dan 2020.

Justeru, pemain berusia 25 tahun ini menyifatkan kehadirannya ke Malaysia ibarat langkah kanan untuk mencipta nama seiring dengan kejayaan yang diperoleh sejak bersama Felcra FC, Selangor FC dan kini Penang FC.

“Betul, bagi saya yang terbaik adalah di Penang sebab saya dah berada di sini untuk tahun ketiga.

“Tetapi, saya juga melakukan tugas yang baik di Selangor sebelum ini, jadi dua tahun saya pernah beraksi dalam pasukan Liga Premier dan dua-dua (Felcra FC dan Penang FC) layak ke Liga Super selepas itu.

“Dan seterusnya di Liga Super tahun lepas, siapa sangka kita berjaya untuk berada di tangga tiga terbaik, jadi saya rasa saya sudah melakukan tugas yang baik di Malaysia dan nak ucapkan terima kasih kepada semua penyokong terutamanya di Penang, Selangor dan Felcra”, jelasnya.

Dalam pada itu, Endrick mengharapkan peluang yang lebih besar akan ada untuknya cuba menjaringkan gol bagi membantu Casagrande di bahagian hadapan walaupun penyerang import itu akan bergandingan dengan seorang lagi penyerang baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Apa yang penting adalah dia ingin sentiasa mencuba menghasilkan gol sepertimana yang telah dilakukannya saban musim untuk melakukan jaringan dengan 18 gol secara keseluruhan sejak 2018.

“Saya menjaringkan lebih banyak gol (8 gol) pada musim 2020 berbanding tahun lepas di mana hanya empat gol sahaja dilakukan.

“Tetapi sebenarnya tugas saya adalah untuk memberi peluang kepada penyerang seperti Casagrande untuk dia melakukan jaringan dan tahun lepas saya tidak banyak peluang sebab kami ubah sedikit corak bermain.

“Jadi, agak sukar untuk saya lebih dekat dengan Casagrande ketika perlawanan dan harap musim ini dapat bersama dengan lebih kerap untuk saya bantu dia dan penyerang lain”, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast