JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja penting untuk kestabilan politik negeri tetapi memperkukuhkan semula prospek dan daya saing ekonomi negeri yang semakin menjunam.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohamamad berkata, kesuraman Johor dalam menerima kemasukan pelaburan langsung asing sejak dua tahun lalu perlu dihentikan segera.
Menurutnya, sebelum Pilihan Raya Umum Ke14, Johor berada pada kedudukan pertama atau kedua atau sebaliknya dalam FDI.
Tetapi sejak dua tahun ini, Johor jatuh pada kedudukan kelapan manakala dalam pelaburan langsung domestik (DDI) di tangga ke keenam.
“Kita jangka kedudukan FDI Johor lebih teruk lagi pada tahun ini, justeru keadaan ini perlu dihentikan. Kedudukan Johor yang diamanahkan oleh Kerajaan Pusat sebagai pintu masuk pelaburan di selatan perlu dikembalikan.
“Johor mesti kekal sebagai negeri yang memberi pulangan yang baik kepada pelaburan-pelaburan infrastruktur yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan,” tegas beliau dalam pertemuan dengan MalaysiaGazette baru-baru ini.
Hasni berkata, sejak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Johor semakin hilang potensi sebagai destinasi pelaburan bagi pelabur asing.
Ini kerana, cadangan projek HSR itu membabitkan impak besar ke atas zon-zon ekonomi baharu yang diwujudkan di antara Batu Pahat dan Muar.
“Sekarang ini bagaimana Johor mahu mengembangkan zon-zon ekonomi yang dirancang apabila HSR sudah tak ada?
“Pembatalan projek HSR bawa impak besar kepada Johor kerana menghilangkan potensi negeri ini,” katanya yang cukup kecewa dengan pembatalan projek mega yang dicadangkan semasa Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran BN.
Projek HSR itu menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura HSR dan disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.
Projek sepanjang 350 kilometer itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300 km sejam.
Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala bagi pelaksanaan projek ini pada 13 Disember 2016. Proses projek itu berjalan lancar sehingga pada 5 September 2018, Malaysia di bawah pentadbiran PH dan Singapura bersetuju menangguhkan pembinaannya sehingga 31 Mei 2020.
Beberapa siri rundingan dijalankan dan akhirnya perjanjian projek ini berakhir pada 31 Disember 2020 dengan Malaysia membayar RM320,270,519.24 kepada Singapura sebagai pampasan.
Bagaimanapun Hasni menyambut baik usaha dan tekad Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan projek HSR ini – sama ada membabitkan Singapura atau tidak, yang penting ia melibatkan Johor.
“HSR ini amat penting kepada Johor kerana impaknya membabitkan FDI dan DDI.
“Dan cadangan-cadangan pelaburan boleh dilaksanakan dengan baik dan tersusun jika Johor mendapat mandat besar dari rakyat kerana ‘ada ruang untuk bernafas’,” ujar beliau.
Jelas Hasni lagi, Johor memang mempunyai potensi besar dalam pelaburan, lantaran itu ia menubuhkan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bukan sahaja untuk memodenkan negeri ini tetapi juga memajukan potensi-potensi daerah.
Contohnya, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mensasarkan untuk menarik pelaburan kawasan antara Mersing dan Segamat.
Malah, pertumbuhan ASEAN yang dibentuk bersama Indonesia, Malaysia, Singapura (IMS-GT) juga membabitkan Muar dan Batu Pahat.
“Johor ini strategik kerana ia ‘memegang’ kawasan serantau. Oleh itu kita tidak mahu projek-projek yang dirancang dan disusun menjadi projek gajah putih.
“Lebih-lebih lagi negeri ini memiliki semua infrastruktur yang diperlukan, yang Johor tidak ada cuma ketidakstabilan,” katanya sambil memaklumkan Johor sedang mengintai pelaburan dari Timur Tengah.
FDI menyumbang 16% dari Keluaran Dalam Negara Kasar negeri dan ia adalah angka yang signifikan,” tambah Hasni.
Menurutnya, pelaburan-pelaburan ini semuanya akan dinikmati oleh rakyat tempatan melalui peluang-peluang pekerjaaan dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Hasni yang memegang tampuk kerajaan negeri sejak 28 Februari 2020 percaya rakyat Johor menyedari dan merasai akan kelembapan ekonomi negeri ekoran ketidakstabilan politik sejak dua tahun lalu.
“Rakyat tahu mereka sudah kehilangan nikmat ekonomi tetapi mereka tidak marah disebabkan pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan.
“Tapi rakyat sudah mula mempersoalkan mana janji yang dibuat untuk membina 1 juta rumah mampu milik,” ujarnya. – MalaysiaGazette