KLUANG – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali daripada DAP dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.
Pengumuman tersebut dilakukan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di pejabat Harapan DUN Paloh, sekali gus menjadi calon pertama yang diumumkan untuk PRN Johor.
Lim berkata keputusan untuk mengekalkan penyandang kerusi DUN berkenaan dibuat berdasarkan integriti dan kredibiliti Sheikh Umar yang tidak diragui serta mewakili pelbagai golongan.
“Untuk Sheikh Umar, ia berdasarkan rekod selama ini dan yang penting adalah, apakah bentuk kerajaan yang kita (mahukan)…pentingnya kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih sebuah kerajaan yang dipandukan oleh rakyat bukan oleh kepentingan pihak tertentu.
“Saya rasa dengan adanya Undi18 itu faktor penentu yang kita tak boleh cam apakah bentuk kecenderungan mereka tapi saya yakin mereka mahukan satu kerajaan yang boleh memberikan masa depan yang cerah kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman tersebut.
Lim berkata reputasi Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor itu ketika menjadi Exco kerajaan negeri memegang portfolio Pembangunan Usahawan, Koperasi, Ekonomi, Penerangan Belia dan Sukan Johor itu turut menjadi antara kekuatan selain disenangi pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Sheikh Umar, 36, graduan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Malaya itu menewaskan pencabar daripada Barisan Nasional (BN) Teoh Yap Kun dengan meraih majoriti 783 undi pada penampilan pertama beliau dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. – BERNAMA