PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak bercadang memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khas untuk umat Islam khusus bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, walaupun terdapat sedikit kenaikan kes Covid-19 di negara ininamun pihaknya masih menggunakan SOP sedia ada.
“Kita masih lagi berjalan ikut SOP dan sebagainya, sama ada di dalam waktu kita solat atau kita di kedai makan atau majlis bersosial.
“Benda itu macam biasa perlu diikut peraturan ditentukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Tiada ada khusus (SOP Ramadan) itu sama sahaja, tarawih dan tak tarawih sama sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi amaran jumlah jangkitan Covid-19 di negara ini dijangka kembali meningkat menjelang sambutan perayaan utama sekiranya orang ramai mengabaikan SOP.
Khairy berkata, jumlah kes harian berkemungkinan meningkat pada Thaipusam dan Tahun Baharu Cina. – MalaysiaGazette