Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak risau dengan kehadiran lebih 700,000 pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran berkata, ini kerana lebih dua tahun beliau telah mengadakan pertemuan dengan golongan muda di negeri itu.

“Jangan lupa ramai anak muda sehingga kini memendam rasa kecewa dengan pelbagai retorik oleh Pakatan Harapan (PH) yang selepas menjadi kerajaan terus lupa tentang janji mereka untuk memansuhkan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

“Juga janji-janji lain seperti peluang pekerjaan, pendidikan percuma dan segala macam lagi. Tetapi sejak kekalahan PRU-14 dulu, antara yang menjadi agenda besar dalam BN terutamanya dalam MIC sendiri adalah mendekati golongan muda ini,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah Penyelaras Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak dan Gambir itu, BN telah menggunakan peluang tersebut untuk mendengar suara hati golongan muda dan mereka tidak lagi menolak pemimpin gabungan parti politik itu.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran

Menurut Rajasekaran, beliau optimis BN akan mencapai kemenangan pada PRN Johor kerana Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang bukan sahaja menjadi pilihan dalam kalangan pemimpin tetapi juga rakyat Johor.

“Saya percaya semua orang boleh menilai bagaimana kerajaan-kerajaan sebelum ini bekerja. Perlu diingatkan bagaimana Menteri Besar kini telah melakukan kerja yang agak luar biasa dan percaya kerajaan negeri ini adalah sebuah kerajaan agak stabil.

“Jika BN dipilih, saya percaya beliau akan menjadi Menteri Besar semula dan mentadbir negeri ini dengan penuh makmur dengan pengalaman luas, matang tangani isu rakyat, punya hubungan cukup baik dengan Singapura dan banyak lagi.

“Saya juga percaya rakyat faham kini bagaimana mereka telah termakan dengan janji-janji kosong, hanya satu janji sahaja iaitu hapus GST sahaja dilakukan oleh mereka kononnya dengan lakukan demikian harga barangan asas dan makanan akan turun tapi rakyat tertipu juga akhirnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette